Kita tidak tahu apa motif Irene Fernandez, Pengarah Eksekutif Tenaganita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), memburuk-burukkan negara sendiri di dalam temubual dengan akhbar Indonesia. Tajuk temubual tersebut iaitu, “Malaysia Not Safe For Indonesian Migrant Workers’ yang merupakan lanjutan kepada kes tiga rakyat Indonesia yang disyaki penjenayah ditembak mati oleh PDRM pada Mac lalu, sudah cukup untuk menyatakan segala-galanya.
Dakwaan Irene jelas berupa ‘sembrono’ iaitu tanpa berasaskan fakta dan angka, tetapi hanya berasaskan sifat khianat terhadap negara sendiri. Katanya, wanita asing yang ke Malaysia berisiko menjadi objek eksploitasi, penderaan fizikal dan keganasan seksual oleh majikan yang kemudiannya membayar rasuah kepada polis dan kerajaan agar tidak dikenakan tindakan. Kerajaan Malaysia pula dikatakannya mengamalkan diskriminasi dengan mengecualikan sektor buruh dan pembantu rumah daripada pengenalan upah gaji minimum.
Pendek kata, Irene cuba sedaya upaya menggambarkan Malaysia sebagai negara yang tidak selamat dengan rakyat yang kejam, polis yang korup dan kerajaan yang zalim. Dia kemudiannya menggesa agar pemerintah Indonesia tidak menyambung usaha menghantar pekerja ke Malaysia.
Ramai yang menggeleng-gelengkan kepala membaca kenyataan Irene, bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi rakyat Indonesia juga. Kita hairan melihat betapa Irene langsung tidak punya semangat patriotik terhadap negaranya sehingga sanggup memfitnah dan memburukkan segala-galanya mengenai negara sendiri.
Bukan sukar untuk menangkis fitnah Irene, malah Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa sendiri menegaskan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak melanggar undang-undang malah langsung tidak mencuri organ ketiga-tiga rakyat Indonesia yang ditembak akibat disyaki penjenayah tersebut. Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) juga menyangkal dakwaan Irene dengan menyatakan bahawa Malaysia adalah lubuk emas kepada warga Indonesia dan buktinya, pada hari ini, terdapat 200,000 pembantu rumah warga itu di negara ini. Itu belum lagi dicampur dengan pendatang tanpa izin. Ini kerana mereka sendiri tahu bahawa kes penderaan yang melibatkan warga tersebut di negara ini adalah kes terpencil dan sangat kecil.
Kerana itu, saban tahun terdapat beribu-ribu rakyat Indonesia yang sanggup bergadai nyawa hanya untuk datang ke Malaysia. Jika Malaysia seburuk yang digambarkan Irene, kenapakah Malaysia masih lagi menjadi destinasi utama bagi rakyat Indonesia mencari rezeki? Apakah rakan-rakan dan sanak-saudara mereka yang pernah ke sini tidak memberi amaran kepada mereka agar tidak ke mari? Kenapakah warga mereka yang berada di sini, majoritinya enggan pulang kembali ke sana malah bercita-cita untuk mengangkut kesemua sanak saudara mereka ke sini?
Justeru, di manakah rasionalnya dakwaan Irene?
Sukar untuk kita membincangkan motif Irene dalam hal ini, tetapi jika kita tidak tahu siapa dirinya, mungkin kita akan menyangka yang beliau adalah bekas pembantu rumah yang pernah melalui pengalaman didera secara seksual, fizikal serta menjadi mangsa penipuan majikan yang tidak bertanggungjawab. Hanya itulah saja penjelasan yang logik tentang kenapa beliau menyimpan dendam yang membara sehingga tidak mampu lagi melihat fakta dan angka.
Sama ada ini benar, atau Irene hanyalah salah seorang dari segelintir rakyat Malaysia yang bermentaliti pendatang iaitu yang tidak langsung mempunyai taat setia dan cinta kepada negara ini. Selalunya yang bermentaliti pendatang ini adalah kaum Cina yang tidak dapat memisahkan diri dari akar umbi negara asal nenek moyang mereka. Namun, akhir-akhir ini muncul golongan liberal India dan juga Melayu yang juga mempunyai mentaliti yang sama walaupun tidak berakar umbi dari negara asal mana-mana.
Bagi yang bermentaliti pendatang, sudah menjadi pegangan mereka bahawa segala-galanya tentang Malaysia adalah buruk, walaupun pada hakikatnya mereka tergolong dalam golongan yang senang lenang atau mewah. Mereka sering melaung-laungkan yang diri mereka ditindas walaupun di masa yang sama mendabik dada penuh bongkak kerana menjadi golongan penyumbang terbesar kepada cukai negara. Bagaimana minda mereka menjustifikasi konsistensi antara orang yang tertindas tetapi kaya dan bongkak, tidaklah dapat dipastikan.
Yang pasti, bagi Irene Fernandez dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya iaitu yang bermentaliti pendatang, Malaysia adalah neraka.
Malang bagi Malaysia kerana hari ini, manusia seperti Irene mendapat lebih kekuatan untuk terus mengkhianati negara ini akibat terdapatnya sokongan dan bantuan yang tidak berbelah bagi dari parti politik pembangkang kita. Kini, Irene, Anwar Ibrahim, Ambiga, Nurul Izzah, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang semuanya berdendang bersama lagu ‘Malaysia Neraka Dunia’. Malah, mereka juga tidak jemu-jemu berusaha untuk menjadikan Malaysia neraka yang sebenar dengan mengsabotaj ekonomi melalui rusuhan jalanan selain usaha berterusan memburukkan imej dan nama negara di serata dunia seperti yang dilakukan Irene.
Apa yang orang luar tidak tahu ialah Malaysia adalah satu-satunya neraka dunia di mana mereka yang ‘tertindas’ ini boleh bermaharajalela mengutuk dan menghentam kerajaan sesuka hati, menunjuk angkuh serta menghina penduduk asal sambil bersantai minum petang di hotel lima bintang setelah habis membeli belah di Harrods, London atau Emporio Armani, Paris kalau pun tidak di Isetan, KLCC, sebelum pulang berehat di rumah agam mereka masing-masing.
Mungkin juga mengikut kepercayaan golongan bermentaliti pendatang ini, inilah kehidupan di neraka yang sebenar. Dan kerana itu mereka berusaha melakukan penipuan, menyebar fitnah, pengkhianatan dan kerosakan di muka bumi semata-mata kerana ingin sangat ke neraka bila mati nanti.