* Dipetik dari blog Cetusan Dr Mohamad Khir Toyo
NAMPAKNYA dunia politik negara sudah menjadi seperti dunia artis barat, tidak reda-reda dengan kisah skandal seks. Daripada yang dibawa ke mahkamah sehinggalah kepada yang bertebaran di ruang-ruang siber dan dada-dada akhbar.
Terbaru yang sedang hangat diperkatakan ialah mengenai gambar-gambar “terlampau” seorang lelaki yang dikata sebagai Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR. Beliau juga merupakan orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak.
Perbahasan selalunya akan bermula sama ada benar atau tidak si pelaku dalam gambar atau video tersebut merupakan ahli politik yang tertuduh. Daripada itu akan ada perbincangan pula siapa punya kerja dan agenda siapa.
Walaupun tampak seperti Azmin namun saya tidaklah berani 100 peratus menyatakan orang tersebut adalah Azmin. Hanya ALLAH, Azmin, dan mereka yang terbabit sahaja mengetahui kebenarannya. Saya bersangka baik bahawa orang tersebut mungkin individu yang menyerupai Azmin.
Namun saya fikir jalan terbaik buat Azmin bukannya melakukan saman malu tetapi membuat laporan Polis kerana ia membabitkan tuduhan yang sangat serius ke atas dirinya. Melalui laporan polis, Azmin bukan sahaja dapat membersihkan dirinya, malah mungkin dapat mengetahui siapa dalang di sebalik isu ini.
Sungguhpun Pakatan dan Azmin sendiri bersungguh mahu menyatakan ini agenda jahat Umno, namun tidak mustahil ini merupakan agenda dalaman parti Azmin sendiri. Ini dapat dilihat dari reaksi beberapa pemimpin PKR yang jelas sekali tidak bersungguh mempertahankan Azmin dalam isu ini.
Seorang pemimpin besar PKR di Selangor enggan mengulas mahu pun mempertahankan Azmin. Pemimpin ini bukan sahaja mempunyai kuasa yang besar di Selangor tetapi juga diketahui berada di kem yang berbeza dengan Timbalan Presiden PKR. Ini menimbulkan tanda tanya apakah terdapat agenda dalam PKR sendiri untuk menjatuhkan Azmin.
Azmin harus berhati-hati dengan musuh dalam selimut kerana telah banyak sejarah politik Melayu tertulis bahawa kejatuhan seseorang pemimpin atau kerajaan Melayu kerap berpunca daripada “orang dalam sendiri” sehingga ada peribahasa Melayu, “bagai gunting dalam lipatan.”
Menilai sikap Azmin selama menjadi Timbalan Presiden PKR dan Ketua Penyokong Kerajaan di Dewan Negeri Selangor, maka kemungkinan besar rencana dan agenda menjatuhkannya beliau ini direncanakan oleh orang di dalam partinya sendiri.
Akhirnya sebagai sesama muslim saya berharap Azmin dapat meluangkan masa menemui ibunya. Walau apa pun tanggapan dan perasaan Azmin, perasaan ibunya harus menjadi keutamaan. Pulanglah, sekurang-kurangnya dapat mendamaikan hati seorang ibu. Ingatlah ajaran Islam bahawa “sebahagian syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu kita.”