JAKARTA, 10 Mei — Pasukan mencari dan menyelamat pada Khamis menemui serpihan pesawat awam Sukhoi Superjet-100, yang dilaporkan hilang petang Rabu bersama 50 penumpangnya.
Bagaimanapun, nasib para penumpang itu masih belum diketahui.
Serpihan pesawat itu dikesan dari helikopter di kawasan Gunung Salak, kata Ketua Penyelaras Pusat Operasi Utama di Taman Nasional Gunung Halimun Salak, Ketut Purwa.
Pengesahan mengenai penemuan itu disampaikan oleh pasukan penyelamat yang meninjau dari sebuah helikopter Super Puma bahawa mereka telah melihat secara fizikal serpihan itu dari ketinggian 2,500 kaki.
Helikopter milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Udara (AU) itu dikerah untuk membantu mencari pesawat Shukoi yang hilang itu di kawasan Gunung Salak itu.
Sementara itu, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam kenyataan akhbar di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta, meminta pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan rapi terhadap kejadian itu untuk mengetahui puncanya.