Bajet 2013 akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat di samping penekanan kepada pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan berkualiti.
Bajet berkenaan akan dibentangkan di Parlimen, 28 September ini.
Perdana Menteri siang tadi mempengerusikan Majlis Konsultasi Bajet 2013 di Kementerian Kewangan.
Majlis Konsultasi tahunan ini adalah forum utama proses pengubalan bajet berkenaan.
Ia bertujuan mengumpul maklumat dan maklum balas pelbagai pihak bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan dasar yang betul dan efektif.
Sehingga kini, kata Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, 84 memorandum cadangan dan input berkaitan bajet diterima kerajaan.
Bajet 2013 bertemakan memacu transformasi ke arah negara maju.
DATUK SERI MOHD NAJIB TUN RAZAK/PERDANA MENTERI
“We are now in the third year of our transformation journey towards developed and high income nation. We have achieved much in this short period. However, there is still more to be done, thus each budget must contribute and take us closer towards realizing Vision 2020.”
(Negara ketika ini berada dalam tahun ketiga perjalanan transformasi ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi, banyak telah dicapai dalam satu tempoh yang singkat itu, tetapi masih banyak yang perlu dilaksanakan, maka setiap bajet perlu menyumbang dan membawa lebih dekat bagi merealisasikan Wawasan 2020.)
Selain cabaran pertumbuhan ekonomi, termasuk meningkatkan pelaburan swasta dan sumbangan sektor perusahaan kecil dan sederhana, kerajaan juga bertanggungjawab memastikan peluang yang adil bagi pendidikan dan pekerjaan, serta kualiti hidup yang tinggi untuk rakyat.