Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan pegawai tinggi kerajaan melakukan sesuatu bukanlah perkara yang luar biasa.
Menurut Dr. Mahathir, Anwar ketika didakwa di mahkamah sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada penghujung 1990-an, pernah mengarahkan polis untuk menakutkan beberapa saksi yang terlibat dalam pertuduhan salah guna kuasa dan liwat dihadapinya.
“Kalau dia mengarah itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana dia biasa mengarah pegawai polis untuk menakutkan orang, itu pun dia biasa buat juga.
“Dia (Anwar) suruh polis ‘gempaq’ (menakutkan) pakar pergigian, (Allahyarham) Dr. Ristina Majid dan Ummi Hafilda (adik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali) yang terlibat dalam perbicaraan. Dia guna kuasa polis dengan cara salah,†katanya.
Dr. Mahathir yang juga Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-26 di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin tentang bagaimana Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri bertindak menutup kes rasuah membabitkan setiausaha sulitnya, Azmin Ali.
Dalam pendedahan itu, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995, mengarahkan pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghentikan siasatan berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dimiliki Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin walaupun hanya bergaji RM2,442 sebulan selaku setiausaha sulit ketika itu.
Kata Dr. Mahathir, Raja Petra atau sesiapa sahaja yang membuat dakwaan rasuah perlu tampil kepada pihak berkuasa dengan bukti kukuh –Utusan