JAKARTA — Seorang kanak-kanak maut manakala empat rumah rosak dalam gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter yang melanda Laut Jawa, di luar wilayah Jawa Timur pada Jumaat.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), pengurusan bencana Bali melaporkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari Tabanan, Bali, meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung ketika gempa bumi melanda.
BACA juga: [VIDEO] Gempa M 6.3 melanda Gorontalo, terasa hingga ke Luwuk dan Palu
Jurucakapnya Abdul Muhari berkata dua buah rumah masing-masing di Jawa Barat dan Jawa Timur turut dilaporkan mengalami kerosakan.
Sementara itu, agensi geofizik negara BMKG menyemak magnitud gempa bumi kepada 6.9, pada kedalaman 643 kilometer, kira-kira 68 kilometer1 barat laut Tuban di wilayah Jawa Timur.
Gempa bumi itu berlaku disebabkan aktiviti perubahan bentuk pada plat Indo-Australia, yang tenggelam di bawah Laut Jawa.
Kesan gegaran turut dirasai di Surabaya, bandar kedua paling padat penduduk di Indonesia, di mana lebih dua juta orang menetap selain di sebahagian besar Jawa, sehingga sejauh Bali serta Lombok.
Seorang wartawan AFP berkata gegaran agak lemah tetapi mampu menyebabkan lampu bergoyang buat seketika.
Klistjart Tarissa, 25, seorang penduduk Bandung di Jawa barat, memberitahu AFP behawa beliau pada mulanya panik kerana berada di tingkat kedua dan tidak pasti sama ada gegaran akan bertambah kuat.
BACA juga [VIDEO] Pagi Isnin, Aceh Digegarkan Dengan Gempa 6.5 Magnitud
Di Yogyakarta, seorang guru sedang mengendalikan kelas dalam talian, berkata kelasnya terganggu seketika akibat gegaran.
“Saya ingatkan hanya tiupan angin kencang tetapi gegaran dapat dirasai agak lama.” kata Simon Arsa Manggala, 33 tahun.
Sementara itu, BMKG turut mengesan gegaran susulan berukuran 5.5 pada skala Richter di lokasi sama selepas gegaran pertama.