MADRID – Sepanyol akan memperoleh dana kecemasan berjumlah AS125 bilion (RM375 bilion) daripada kemudahan zon euro untuk membantu sektor perbankan dan kewangan negara itu yang berhadapan dengan situasi tenat.
Langkah menyalurkan dana itu dipersetujui pada mesyuarat khas yang dihadiri menteri-menteri kewangan dan ekonomi Eropah.
Menteri Ekonomi Sepanyol, Luis de Guindos berkata, negaranya akan membuat permohonan secara formal selepas ini dan bantuan itu tidak mengenakan sebarang syarat ke atas rakyatnya.
“Tiada apa-apa syarat berkaitan pembaharuan ekonomi,” kata beliau selepas mesyuarat dengan rakan-rakan sejawatannya dari zon euro semalam.
“Hanya bank-bank dikenakan syarat. Itu sahaja. Ia satu suntikan modal yang mereka (bank) kena bayar balik. Tiada syarat-syarat lain ke atas rakyat Sepanyol,” kata beliau lagi.
De Guindos menafikan dana itu sebagai satu langkah menyelamatkan sektor kewangan Sepanyol.
“Ini bukan (langkah) menyelamat,” kata de Guindos.
Menteri-menteri Kewangan kumpulan Euro menyambut baik keputusan Sepanyol, ekonomi keempat terbesar Eropah, untuk mendapatkan bantuan kewangan.