Kaum Cina, dikatakan kaum yang praktikal dan bukan emosional dalam menentukan matlamat hidup mereka. Praktikaliti bagi mereka, dinilai dari sudut keuntungan ekonomi dalam jangka masa panjang. Mereka sabar, tekun dan kekal fokus untuk mencapai apa yang diidamkan.
Dalam menentukan kerajaan yang memerintah juga, kaum Cina mengambil sikap yang sama dan bergerak sebagai satu kumpulan bagi memastikan keuntungan maksima kepada kaum mereka.
Barisan Nasional telah menjadi pilihan kaum Cina sejak sekian lama kerana mereka yakin bahawa parti ini mampu menyediakan persekitaran dan lanskap yang sesuai untuk mereka ‘berkembang’. Walaupun terdapat puak-puak ekstremis Cina yang cuba menafikan keupayaan BN serta menghasut kaum Cina agar berprasangka, malah membenci BN dengan membangkitkan soal Hak-hak Istimewa Bumiputera tetapi tiada seorang pun manusia di dunia ini yang mampu menolak hakikat bahawa kaum Cina di Malaysia adalah antara yang paling makmur sekali di dunia di bawah pemerintahan BN.
Sekolah-sekolah Cina, dahulunya dibuka sebagai persediaan untuk kaum Cina kembali ke tanahair mereka selepas puas mencari kekayaan di negara ini. Namun, majoriti kaum Cina terus kekal di sini, menjadi warganegara yang setia kerana mereka tahu kerajaan Perikatan ketika itu, dan BN hari ini, akan tetap membela mereka.
Namun begitu, sokongan kaum Cina terhadap BN hari ini dikatakan merosot secara drastik dan apa saja yang dilakukan oleh BN tidak akan mampu lagi untuk memulihkan keadaan ini.
Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna yang mereka menyokong Pakatan Rakyat. Mungkin mereka tersasar sekejap pada tahun 2008 akibat terpedaya dengan janji-janji manis Anwar Ibrahim dan faktor-faktor lain, tetapi seperti yang dikatakan tadi, kaum Cina bukan bertindak berdasarkan emosi, tetapi praktikaliti.
Akhir-akhir ini, Anwar mula dipandang serong oleh kaum Cina apabila beliau membangkitkan idea untuk menghapuskan PTPTN yang mana akan merugikan para pelajar, termasuk anak-anak bangsa Cina yang majoritinya memilih pusat pengajian tinggi swasta yang jauh lebih mahal harganya.
Kemudian, Anwar sekali lagi menggusarkan kaum Cina apabila bertindak ‘mengambil alih’ perhimpunan BERSIH 3.0 dan menonjolkan warna sebenarnya sebagai seorang pemberontak yang ingin membuat huru-hara. Sudah tentu kaum Cina tidak inginkan huru-hara kerana ia akan bermakna kerugian bagi perniagaan mereka.
Maka, dua insiden ini menjadi titik penting untuk kaum Cina kembali mengimbas sejarah lama dalam menjustifikasi undi mereka dalam pilihanraya kali ini. Ternyata sejarah tidak pernah berbohong dan sejarah telah memaparkan siapa Anwar yang sebenarnya. Setelah membaca sejarah Anwar ramai anak-anak muda Cina kembali berpijak di bumi nyata dari terus bermimpi diperintah oleh Pakatan Rakyat yang kononnya bakal memberi mereka kesamarataan total bagi membolehkan mereka berkembang ke tahap maksima dan menelan kaum-kaum lain di Malaysia.
Anwar Ibrahim adalah manusia dengan begitu banyak personaliti jika tidak, takkanlah beliau digelar ‘sesumpah’ oleh wartawan barat. Mengikut pendedahan buku The ‘I’ Files, pada satu masa, Anwar adalah seorang Muslim fanatik yang mengimpikan negara Islam ‘sempurna’ ala Iran, berkiblatkan Saudi, berfahaman Wahhabi dan tiada tolak ansur dalam menangani kemungkaran. Bagi Anwar, kaum Cina dan barat semuanya adalah ancaman kepada Islam. Sehinggakan, kata penulis buku tersebut, Hasan Ali juga tidak dapat menyaingi ‘mimpi’ Anwar pada waktu itu!
Pendedahan ini boleh dibuktikan dengan sikap dan tindakan yang diambil oleh Anwar ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986-1990. Beliau mula melantik Guru Besar yang tiada latarbelakang pendidikan Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina. Anwar juga tidak pernah membela sekolah Cina malah beliaulah yang begitu giat membawa semangat nasionalis sepertimana Indonesia di mana identiti kaum-kaum lain dihapuskan sama sekali bagi membentuk sebuah bangsa yang bersatu padu. Hanya pada tahun 1996, kerajaan BN telah meminda Akta Pendidikan 1961 seksyen 21 (2) untuk menarik balik kuasa Menteri Pendidikan menukar kedudukan sekolah Cina kepada sekolah kebangsaan selepas bantahan DAP dan Dong Jiao Zong.
Selain pendirian Anwar mengenai kedudukan kaum Cina di Malaysia yang sukar dijangka kerana asyik berubah-ubah mengikut keadaan politik semasa dan kepentingan peribadinya, Anwar juga dikhuatiri oleh kaum Cina sebagai tidak mempunyai kelayakan dan kebolehan untuk mentadbir ekonomi.
Ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, dan kebetulannya pada tahun-tahun akhir sebelum dipecat iaitu 1997/98, negara telah mengalami serangan ekonomi yang buruk. Kebolehan Anwar sebagai Menteri Kewangan telah teruji dan ternyata Anwar gagal sama sekali.
Dalam kebuntuan, Anwar telah mengambil keputusan yang mudah tetapi salah, iaitu menurut sahaja telunjuk IMF. Kadar faedah pinjaman dinaikkan secara drastik menyebabkan perniagaan tidak mampu membayar pinjaman dan bank-bank pula terbeban dengan ‘Non-Performing-Loan’ (NPL). Akibatnya, ekonomi Malaysia hampir lumpuh sepenuhnya apabila perniagaan ditutup, bank-bank pula mengalami kerugian dan pengangguran meningkat sehingga menyekat kadar dayabeli rakyat.
Malaysia bertuah kerana diselamatkan oleh kebijaksanaan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berani mengambil langkah tidak popular dan menelan segala kritikan demi menyelamatkan negara yang hampir bankrap. Tindakan ini menyebabkan BN berjaya memenangi PRU 1999 apabila kaum Cina menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan Barisan Nasional sekali gus menjauhkan mereka dari pembangkang pada ketika itu, Barisan Alternatif yang diterajui oleh Anwar Ibrahim.
Justeru, kita percaya kaum Cina cukup bijak untuk belajar dari sejarah dan tidak mudah terpengaruh oleh emosi yang kurang tenteram akibat dihasut oleh puak ekstremis, chauvinis, rasis dan pentingkan diri sendiri. Selama ini, negara ini berdiri teguh atas kerjasama semua kaum. Dan kerjasama ini menjadi teguh kerana wujudnya perlembagaan yang mengambil kira keadilan mengikut struktur ekonomi dan sosial kaum-kaum di Malaysia dan bukannya kesamarataan secara buta tuli.
Formula di dalam perlembagaan inilah yang menjadi kunci keamanan, keteguhan dan kemakmuran negara ini. Maka semua kaum wajar terus menjulang perlembagaan negara bagi memastikan apa yang dikecapi hari ini akan terus bercambah dan kukuh selama-lamanya.
Di masa yanga sama, kita melihat apa yang dimomokkan oleh Anwar hanyalah ilusi, mimpi dan fantasi seorang manusia yang gila kuasa. Kemungkinan besar Anwar sendiri tidak tahu apa yang diperkatakan dan dijanjikannya kerana kemungkinan besar Anwar sendiri tidak kenal lagi siapa dirinya iaitu sama ada beliau seorang fanatik, ektremis, liberal ataupun plural.
Oleh itu, jalan terbaik bagi rakyat ialah memilih kepimpinan BN yang ‘moderate’ dan kekal konsisten dengan prinsip dan pendirian ini.