AKHBAR Guang Ming Daily terbitan 4 Julai menyiarkan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan dahi berplaster.
Panas. Rupa-rupanya tampalan plaster itu ada isu tersendiri. Desas-desus berlegar bahawa luka tersebut akibat dicederakan oleh isterinya, Betty Chew yang juga ADUN Kota Laksamana, Melaka.
Apakah ia berpunca daripada kemarahan Betty kononnya Guan Eng menjalin hubungan dengan bekas pembantunya, Ng Phaik Kheng?
Semalam, Betty menafikan beliau mengkasari suaminya dan juga Phek Kheng sebagaimana dakwaan yang tersiar di beberapa blog.
Pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Guan Eng, Betty juga menafikan suaminya menjalin hubungan sulit dengan Phaik Kheng.
Khabarnya pasangan tersebut tidak ceria semasa sidang akhbar yang berlangsung dalam suasana suram lalu menimbulkan tanda tanya kepada sebahagian wartawan.
Sehari sebelum itu, akhbar The Star melaporkan Guan Eng dan Betty tampil bersama di depan media tetapi dengan bahasa badan yang kurang mesra. ADUN Kota Laksamana itu pada 4 Julai lalu mengejutkan pelbagai pihak apabila beliau bersama beberapa ADUN DAP membawa kain rentang ke dalam Dewan Undangan Negeri Melaka. Ia sebagai membantah ADUN BN (MCA), Gan Tian Loo yang bertanyakan Betty tentang isu tersebut. Ramai yang hairan mengapa Betty enggan menjawab soalan Gan di dalam dewan sebaliknya mengalihkan isu dengan membuat kecoh keesokan harinya. Beliau tidak sepatutnya melatah dengan tindakan sebegitu.
Turut menjadi persoalan ialah sehingga hari ini, Phaik Kheng enggan mengulas walaupun diasak oleh wartawan pada satu majlis kelmarin. Ini termasuk soalan apakah tindakan beliau berhenti kerja di pejabat Guan Eng sebelum ini ada kaitan dengan dakwaan menjalin hubungan sulit dengan bosnya itu. Apabila diingatkan bahawa keengganannya untuk mengulas boleh disalahertikan sebagai tidak menafikan dakwaan tersebut, Phaik Kheng menjawab: ‘‘tiada komen, bermakna tiada komen.’’
Tidak kurang mengundang perhatian Awang ialah penjelasan Guan Eng mengapa dahinya bertampal plaster iaitu akibat luka digaru, bukannya dikasari Betty Chew. Kuatnya menggaru sampai terluka. Awang tidak tahu sama ada mahu senyum atau serius mendengar penjelasan itu. Biarlah. Awang tidak berminat untuk membuat apa-apa tafsiran. Hanya Guan Eng dan Betty yang tahu apa sebenarnya berlaku. Cuma nasihat Awang kepada Guan Eng, lain kali berhati-hatilah. Jangan sampai luka lagi, tidak kira sama ada akibat menggaru atau apa punca sekali pun.
++++