SEMASA bakatnya mula dicungkil bekas jurulatih, Pandelela Rinong yang ketika itu berusia 10 tahun benar-benar berasa gayat apabila perlu membuat terjunan dari platform setinggi 10 meter.
Namun, Wang Jin Lin yang merupakan jurulatih pertamanya telah memberi inspirasi kepada Pandelela supaya tidak memikirkan tentang ketinggian sebaliknya membiasakan diri dengan aksi terjunan tersebut.
“Saya tidak pernah bermimpi meraih kemenangan podium pada temasya Olimpik. Terjun merupakan sukan yang saya minat dan saya berusaha berlatih bersungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita di London, semalam.
Penerjun berusia 19 tahun dari Bau, Sarawak itu berkata, Jin Lin kini membimbing penerjun Australia termasuk pemenang pingat perak acara 10m platform wanita, Brittany Broben.
“Tetapi jurulatih Wang (Jin Lin) tidak berada di sini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau sehingga menjadikan saya seperti apa yang ada sekarang,” katanya.
Dalam acara 10m platform wanita akhir semalam, Pandelela meraih pingat gangsa selepas mengutip 359.20 mata di belakang pemenang pingat emas, Chen Ruolin dari China yang mengumpul 422.30 mata dan Broben (366.50).
Pandelela juga muncul satu-satunya atlet wanita menyumbangkan pingat kepada kontinjen negara pada Olimpik dan penerjun tunggal yang memecah dominasi pemain badminton menghadiahkan pingat, sejak Malaysia menyertai temasya itu pada 1956 di Melbourne.
Untuk rekod, lima pingat iaitu tiga perak dan dua gangsa yang diraih kontinjen Malaysia pada temasya Olimpik adalah melalui acara badminton.
Pada Olimpik London 2012, Datuk Lee Chong Wei menyumbangkan pingat perak dalam acara perseorangan lelaki.
Pandelela yang kini berlatih di bawah bimbingan jurulatih dari China, Yang Zhuliang berkata, selepas memenangi emas dalam acara sama pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi yang mana beliau menumpaskan Broben, dia tidak pernah bermimpi memenangi pingat pada Olimpik.
“Pada Sukan Komanwel, tiada penerjun China. Sementara pada Sukan Asia di Guangzhou pada 2010, penerjun Eropah tidak bertanding. Jadi saya tertanya-tanya di mana kedudukan saya apabila bersaing dengan penerjun kelas dunia di sini.
“Namun, saya sedar di Olimpik, semua penerjun terbaik dunia daripada setiap temasya sukan, Kejohanan Dunia atau Piala Dunia berada di London,” katanya.
Pandelela berkata, ketika menjalani latihan di China beberapa bulan sebelum Sukan Olimpik 2012, beliau menghabiskan masa berlatih selama lapan jam setiap hari.
“Latihan di China betul-betul berhasil. Jika saya mahu memperbaiki pencapaian saya di Olimpik, saya memilih berlatih di China kerana ia memiliki infrastruktur yang baik dan lebih penting jurulatih di sana hanya melatih dua atau tiga penerjun. Jadi, tumpuan yang lebih boleh diberikan terhadap anak didik mereka,” katanya.
Mengenai perancangannya pada masa depan, Pandelela berkata, setakat ini, beliau mahu pulang ke tanah air dan menghabiskan masa bersama keluarga di Sarawak.
“Saya mungkin memberi laluan kepada penerjun muda beraksi di Sukan SEA 2013 di Myanmar dan memberi tumpuan kepada Kejohanan Dunia atau Piala Dunia akan datang dan bersedia untuk Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan,” katanya.