“Ketika itu saya di darjah empat. Cikgu beritahu saya kena pakai unifom sekolah bersih dan kena hadir di padang sekolah esok pada pukul 7.30 pagi.
“Esoknya, saya dan rakan lain beratur di padang. Kami diberikan bendera kecil Malaysia dan wang 50 sen. Barulah kami tahu yang kami terlibat dalam perbarisan Hari Merdeka peringkat daerah,” cerita Dr Ibrahim Jumat kepada penulis di sini baru-baru ini.
Bagi generasi peringkat usia pegawai perubatan yang berumur 51 tahun itu, ramai yang tidak mengerti apa itu maksud Merdeka masa mereka di alam kanak-kanak.
Hanya bila usia meningkat dewasa baru mereka tahu apa itu sebenarnya pengertian Merdeka.
Dan bila (Dr) Ibrahim dan rakan sebayanya meningkat dewasa barulah mereka mengerti dan memahami apa itu sebenarnya pengertian Merdeka, mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu kebangsaan Negara Ku serta melafazkan ikrar Rukun Negara semasa perhimpunan sekolah.
“Walaupun ketika di universiti, saya dan rakan-rakan tetap bangga dengan Hari Merdeka,” terang beliau.
SEMANGAT MERDEKA
Bagi Dr Ibrahim, yang mempunyai ijazah sarjana muda dan sarjana dari seberang laut, rakyat Malaysia akan tetap mempunyai semangat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.
“Penting bagi mengembalikan semangat Merdeka yang sebenar, dengan cara yang betul dalam menggalas dan mempelajari pengajaran darinya. Ada banyak cara masyarakat boleh merayakan Hari Merdeka.
“Harus diingat Merdeka bukanlah sesuatu yang senang dicapai,” terang Dr Ibrahim.
Sesuatu dalam hidup tetap mempunyai harga yang perlu dibayar dan perjuangan generasi dulu bukannya mudah untuk ‘dibayar’.
“Generasi muda perlu lebih memahami, daripada hanya merayakan. Mereka perlu mengambil kesempatan daripada apa-apa manfaat dan kemudahan yang disediakan kerajaan kini.
“Apa yang mereka ada sekarang adalah hasil daripada satu perjuangan yang memakan masa dan usaha yang lama dan besar.
“Tiada yang percuma di dunia ini, termasuk dalam mencapai kemerdekaan,” kata beliau.
HARI KEMERDEKAAN
Tahun ini Malaysia akan merayakan ulangtahun ke-55 Hari Merdeka pada Jumaat 31 Ogos. Hari Merdeka dirayakan di seluruh negara dari bulan Ogos hingga pertengahan September.
Tema perayaan Hari Merdeka tahun ini adalah ‘Janji Ditepati’.
WIRA
Menurut para sejarawan, wujudnya ramai pahlawan yang berjuang untuk kemerdekaan termasuklah patriot seperti Lt Adnan Saidi yang maut dalam pertempuran Perang Dunia Kedua di Singapura pada tahun 1942.
Pertempuran di Bukit Candu, Pasir Panjang, Singapura antara askar Regimen Melayu dan tentera Jepun dianggap sebagai satu peristiwa penting dalam mempertahankan benteng terakhir sebelum Malaya jatuh ke tangan tentera Jepun.
Lt Adnan, yang ketika itu berusia 27 tahun, terbunuh ketika memimpin sekumpulan kecil askar Melayu menetang serangan Jepun.
Mereka telah berjaya mematahkan serangan Jepun beberapa kali tetapi dalam pertempuran terakhir mereka diatasi oleh jumlah tentera Jepun yang besar.
Lt Adnan gugur dalam keadaan yang menyedihkan dengan tentera Jepun menggantung mayatnya pada dahan pokok dan menikamnya bertubi-tubi menggunakan benet sebagai amaran kepada yang lain apa akibatnya jika mereka menentang Jepun.
“Jika ada 10 Lt Adnan, belum tentu Malaya jatuh ke tangan Jepun,” itulah kata-kata Jen Yamashita, yang juga dikenali sebagai Harimau Malaya tentang keberanian ditunjukkan oleh Lt Adnan dalam mempertahankan Tanah Melayu sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.
Peristiwa sebegini perlu disematkan dalam diri setiap generasi yang ada dan patriotisme dan perjuangan yang ditunjukkan oleh wira dan pahlawan negara boleh dijadikan iktibar.
Kata Dr Ibrahim, belia di masa kini perlu mencontohi semangat seperti yang ditunjukkan Lt Adnan dalam memastikan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati semua berterusan.