Mengikut laporan beberapa media yang membuat liputan berkenaan mesyuarat Majlis Syura PAS tempohari, Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat hanya sempat mempengerusikan mesyuarat tersebut untuk selama kira-kira 20 minit sahaja sebelum beredar keluar dengan wajah yang agak sugul.
Sepanjang 20 minit itu, Nik Aziz yang juga adalah Mursyidul Am PAS sempat menyentuh isu berkaitan Nasharudin Mat Isa sebelum menyerahkan tanggungjawab sebagai pengerusi kepada timbalannya, Datuk Haron Din.
Barangkali tak terjangka kelibat Nik Aziz ponteng keluar awal dari mesyuarat telah dapat dikesan oleh media, akhirnya PAS melalui Ketua Penerangannya terpaksa membuat penjelasan khusus bagi menjustifikasikan kewajaran sikap tidak cakna Mursyidul Am PAS itu.
Menurut penjelasan Tuan Ibrahim Tuan Man itu, tindakan Nik Aziz keluar awal dari mesyuarat tersebut disebabkan MB Kelantan itu mengadu tidak sihat serta sedikit kepenatan.
Punyalah jauh datang dari Kelantan semata-mata untuk mempengerusikan mesyuarat penting di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur tiba-tiba saja alasan masalah kesihatan dan kepenatan dijadikan sandaran untuk melepaskan dirinya dari dikritik oleh ahli dan penyokong PAS.
Alasan sebegini sudah acap kali kita dengar sama ada dari mulut Nik Aziz sendiri mahupun orang kanannya baik yang membabitkan mesyuarat parti, mesyuarat mingguan exco negeri mahupun mesyuarat bulanan anak syarikat serta agensi negeri Kelantan.
Bukan satu rahsiapun sejak Nik Aziz menjawat kedudukan sebagai MB, paling lama dia akan berada dalam sesuatu mesyuarat hanya sekitar sejam sahaja malah banyak mesyuarat di peringkat kerajaan negeri acapkali di pengerusikan oleh orang lain.
Ini pun satu sebab lagi kenapa dikalangan ramai rakyat Kelantan, Nik Aziz lebih terkenal sebagai MB paling kuat berceramah atas pentas politik tapi paling tak memberi manfaat untuk agama, bangsa mahupun negeri sendiri.
Yang dia tahu cuma tandatangan itu ini tanpa mahu membaca sebarang isi kontrak. Dan dia akan setuju apa sahaja tanpa memperhalusi butiran perjanjian, apa yang dibisikkan oleh penasihatnya itulah yang dia pegang tanpa faham penting atau tidak sesuatu perkara.
Nama Majlis Syura Ulama PAS ini pun hanya beberapa minggu kebelakangan ini sahaja sedikit popular tapi selama ini jarang orang tahu bahawa badan tertinggi PAS itu walaupun sudah lama di pengerusikan oleh Nik Aziz tapi nak nampak batang hidung Nik Aziz dalam mesyuarat dwi bulanannya yang jarang-jarang diadakan itu pun amatlah payah.
Ramai pemimpin PAS pernah merungut atas kelesuan Majlis Syura namun bila tiba-tiba sahaja isu Nasharudin meletus dan badan tersebut dijadikan rujukan terpaksa jugalah Nik Aziz menggagahkan diri menghadiri mesyuarat setelah merasakan itulah peluangnya bagi mengenakan Ustaz Nasharudin yang sekian lama dibencinya itu.
Malangnya baru 20 minit mempengerusikan mesyuarat, sudah pancit awal dan hasil mesyuarat pula tak menepati kemahuannya. Gayanya tak lebih tak kurang, Nik Aziz lebih sesuai diangkat sebagai Ahli Mesyuarat Tingkap sahaja.