“Dapatkan wang mudah secara ‘online’! “Jana pendapatan walaupun sedang bercuti” dan “biarkan wang bekerja untuk anda”.
Ini adalah antara iklan skim ‘menjana wang melalui Internet’ di mana kononnya pelabur tidak perlu berbuat apa-apa melainkan menunggu sahaja wang masuk dalam akaun bank.
Terdapat banyak pakej ‘ganda wang anda’ seperti ini yang wujud dalam Internet dan iklan sebegini ada banyak yang dihantar melalui emel.
Bagaimana nak kenal skim cepat kaya? Adakah caranya?
Menurut pakar-pakar dalam bidang kewangan, skim cepat kaya yang beroperasi di Internet biasanya akan cuba menonjolkan satu ‘formula rahsia’ yang memberitahu pelabur bagaimana mahu mendapatkan wang secara mudah.
Skim ini biasanya akan menceritakan bagaimana pelabur tidak perlu mempunyai apa-apa kebolehan istimewa dalam bidang pemasaran. Skim ini juga menawarkan masa yang begitu singkat bagi pelabur membuat banyak wang.
TEKNIK ISTIMEWA?
Skim cepat kaya ‘online’ (atas talian) biasanya memberi perhatian kepada aspek bagaimana pelabur dapat menjana atau mengganda wang mereka dengan hanya membuat pelaburan kecil dengan menerapkan ‘teknik atau formula rahsia’ ini.
Formula ini biasanya terkandung dalam kit latihan yang akan dihantar kepada mereka yang menyertai pakej ini.
Bahan latihan ini selalunya dalam bentuk ‘ e-book’ (buku elektronik) atau cakera padat (CD).
Malangnya formula rahsia yang dikatakan akan membantu menggandakan wang pelaburan hanyalah bahan pemasaran asas dan biasa sahaja dalam mana-mana aspek pemasaran.
Dalam erti kata sebenarnya, bahan-bahan ini bukan rahsia lagi malah sudah menjadi pengetahuan umum dan bukan pula sesuatu yang istimewa yang berupaya membawa pulangan lumayan secara ‘online’.
NAK JADI CEPAT KAYA?
Pengendali skim cepat kaya ‘online’ akan cuba menarik minat orang ramai dengan menyatakan pelabur akan jadi kaya-raya dalam masa yang singkat iaitu hanya dalam dua atau tiga bulan sahaja.
Menurut pihak berkuasa, pengendali-pengendali ini akan mengaburi mata mangsa dengan ‘formula rahsia’ ini, yang mendakwa akan membawa mereka kepada kekayaan dan formula rahsia ini juga adalah hanya untuk mereka sahaja dan tidak diketahui oleh orang lain.
“Mereka akan cuba sedaya-upaya bagi mengajak pelabur menyertai skim ini. Antaranya dengan menyatakan hanya beberapa CD yang tinggal, beri diskaun atau CD tersebut hanya ada bagi pelabur untuk satu masa yang singkat sahaja,” menurut pakar runding kewangan, Paul Leong.
Skim-skim sebegini juga akan memberi testimoni (pengesahan dan pengalaman ) daripada pelanggan terdahulu tentang kejayaan mereka.
KAJIAN
Antara skim ‘online’ yang popular ialah individu diminta menjalankan kajian bagi bidang-bidang tertentu dan menerima bayaran atas usaha mereka.
Pengendali skim menjanjikan pendapatan lumayan melalui cara ini. Biasanya mereka yang melibatkan diri hanya akan mendapat wang yang tidak banyak.
“Jika mahu buat wang secara online, ia memerlukan kerja keras serta dedikasi,” jelas Leong.
Kenapa masih ramai yang tertipu dengan skim cepat kaya sedangkan mereka sebenarnya tahu mereka mengambil risiko mudah untuk ditipu?
“Manusia mudah tertarik dengan janji bagaimana nak buat duit cepat dan mereka membiarkan diri mereka percaya dengan semua ini.
Pengendali yang mencipta skim ini sedar tentang kelemahan ini dan hanya perlu menjanjikan yang indah-indah sahaja dan sudah tentu ada orang yang akan terperangkap.
Menurut Leong, mendapatkan wang menerusi online bukannya satu perjalanan yang mudah dan sesiapa yang memberitahu bahawa ada cara bagaimana hendak jadi cepat kaya sebenarnya adalah berbohong.
“Hanya segelintir yang berjaya dan untuk peluang ini menjadi kenyataan adalah sangat kecil,” katanya.