KOTA BHARU 15 Nov. – Pemuda Pas Johor mengkritik ucapan dasar Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang disifatkannya sebagai ucapan tidak membina tanpa memberi sebarang idea baru sepertimana yang diharapkan golongan muda, serta tidak berani mengkritik kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang seolah-olah pemimpin negeri itu maksum.
Perwakilan Pemuda Pas Johor, Mohd. Faizul Mohd. Salleh berkata, ucapan tersebut hanya mengimbau kembali sejarah silam perjuangan parti itu dan tahap ekonomi negara.
Beliau berkata, Pemuda sewajarnya memainkan peranan mereka sebagai ejen pendesak dan berani menegur pemimpin pembangkang terutama di negeri-negeri yang dikuasai mereka.
“Tidak ada perkara baru dalam ucapan Ketua Pemuda, yang ada hanyalah sorotan sejarah dan bacaan semula analisis ekonomi. Tiada satu perkara baru menyentuh anak muda dahagakan perubahan.
“Tidak ada satu teguran pun diberikan kepada negeri-negeri pakatan pembangkang. Adakah negeri yang kita perintah menjadi negeri maksum, negeri yang tidak ada silap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) Ke-53 di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam di sini hari ini.