Di kala UMNO bangkit mengecam serangan Israel yang membunuh begitu ramai rakyat Palestin, saudara-saudara kita di dalam PAS pula mengecam UMNO kerana kononnya menzalimi Islam dan umat Islam di Malaysia. Di kala UMNO meneruskan perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara, PAS pula berdoa memohon Putrajaya!
Di kala UMNO menganggap PAS saudara seagama, PAS terus menganggap UMNO murtad dan kafir. Alasan PAS ialah UMNO menolak Islam kerana menolak hudud.
Sedangkan, mengikut Al-Quran, seseorang itu adalah Islam jika beliau berpegang kepada Rukun Iman iaitu: (1) Beriman kepada ALLAH SWT, (2) Beriman kepada Malaikat-malaikat, (3) Beriman kepada Kitab-kitab, (4) Beriman kepada Rasul-rasul, (5) Beriman kepada Hari Kiamat, (6) Beriman kepada Qada dan Qadar.
Berdasarkan ajaran Al-Quran ini, maka jelas bahawa UMNO adalah Islam dan tidak melaksanakan hudud tidak menjadikan UMNO kafir kerana ia tidak termasuk dalam rukun iman yang menetapkan keIslaman seseorang. Malahan, UMNO juga telah berkali-kali menegaskan yang parti itu tidak menolak hudud tetapi tidak dapat melaksanakannya mengambil-kira kemajmukan masyarakat dan keadaan semasa di negara ini.
Namun, dalam Muktamar ke-58nya, PAS telah sekali lagi mengenepikan hakikat ini dan terus menyebarkan kebencian dan memohon kehancuran ke atas saudara seagama mereka di dalam UMNO atas alasan UMNO bukan Islam kerana menolak hudud.
Entah kenapa PAS telah terlepas pandang bahawa menyebarkan kebencian sesama Islam, meniupkan rasa riak dan takbur ke dalam diri si alim ulama dan menghukum manusia lain dengan hukum Allah adalah kerja iblis, yakni bertentangan dengan seruan Al-Quran.
Seperti yang kita sedia maklum, doa menghancurkan UMNO bukan perkara baru bagi PAS. Malah, PAS pernah berdoa lebih dari itu, dengan menujukan khas kepada individu tertentu memohon agar pecah perut dan sebagainya. Doa menghancurkan UMNO ini dilakukan saban tahun dengan solat hajat yang dihadiri beribu-ribu ahli PAS.
Saban tahun juga kita terkejut tidak mampu menerima yang begitu ramai saudara kita yang begitu jahil, tega menjadi makmum dan mengaminkan doa sang iblis. Dan saban tahun juga kita mengangkat tangan syukur kepada Allah SWT kerana doa iblis yang dibisikkan ke telinga tok-tok guru yang kononnya bertaraf wali, yang mulia lagi maksum itu, telah tidak dimakbulkan.
Sukar untuk kita memahami bagaimana dalam sibuk memperkatakan tentang agama, PAS telah terlepas pandang akan Rukun Iman, hadith dan ayat mengenai iman dan keIslaman seseorang di mana ‘hudud’ tidak langsung termasuk di dalamnya.
Dari Anas bin Malik ra, dari Nabi saw, sabdanya : “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka mendapatnya.” (HR Bukhari dan Muslim )
Orang-orang Islam yang beriman adalah merupakan suatu kesatuan, sepertimana yang disebut oleh Allah swt di dalam kitabNya yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”
Sebenarnya, berjihad menentang saudara seagama telah menjadi pegangan ‘agama PAS’ sejak berdekad-dekad lalu yakni bertitik tolak dari Amanat Hadi Awang yang mengkafirkan UMNO. Dan kini, Nik Aziz pula memperbaharui pegangan itu dengan memurtadkan UMNO.
Penulis menyatakan ‘agama PAS’ kerana ajaran yang dibawa oleh PAS untuk memerangi saudara seagama bukanlah ajaran agama Islam, malah jauh bertentangan dan dimurkai Allah SWT.
Kesanggupan PAS membelakangkan ajaran Islam membuktikan bahawa PAS mengambil sikap membujur lalu melintang patah demi mencapai Putrajaya. Pilihanraya adalah segala-galanya bagi PAS iaitu matlamat hidup mati mereka seolah-olah ia merupakan salah satu syarat untuk menyempurnakan ibadah dalam ‘agama PAS’ ialah dengan memastikan parti mereka menang pilihanraya.
Malah, jika rukun iman ‘agama PAS’ disenaraikan, maka ia pasti meletakkan kemenangan pilihanraya sebagai rukun yang pertama dan hudud sebagai yang kedua. Semua rukun iman dalam Islam yang lain, tidak penting selagi kedua-dua rukun yang pertama tadi tidak dicapai.
Ini mungkin juga kerana dalam ‘agama PAS’, semua ahli telah dijanjikan syurga maka mereka tidak perlu lagi mengambil-kira tuntutan berbuat baik sesama manusia, menyayangi saudara seagama dan sebagainya.
Justeru, dengan syurga sudah didalam genggaman, apa lagi yang ahli-ahli PAS perlu perjuangkan, selain kuasa, pilihanraya dan Putrajaya. Bukan begitu?
Penulis dapat tahu bahawa ramai juga di kalangan ahli-ahli PAS yang cuak dan gusar dengan doa ini, tetapi seperti yang dijangka, kegusaran mereka tidak dapat mengatasi keinginan mereka untuk menang pilihanraya.
Kerana itu, penulis tidak mampu mengulas panjang lagi mengenai isu ini, melainkan mendoakan agar kita semua, saudara seagama, sentiasa berada di jalan yang benar, tidak kira di dalam UMNO, PAS mahupun di Palestin atau di mana juga, serta tidak kira yang alim, jahil atau apa saja rupa dan penampilannya. Selagi semuanya berpegang kepada Rukun Iman selagi itulah mereka penulis anggap sebagai saudara seagama yang disayangi lagi dikasihi dan bukan untuk diperangi.
Semoga kita semua selamat dari kehancuran akibat tipu daya sang iblis dan syaitan.