Perhimpunan Agung Umno 2012 bakal memberi isyarat bahawa Umno sudah siapsiaga untuk menghadapi pilihan raya, bahawa ia sudah bangkit semula dengan lebih gagah, berdisiplin, padu serta mampu menjamin masa depan lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia di bawah pentadbiran Barisan Nasional.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perhimpunan 5,447 perwakilan parti itu seharusnya menggambarkan sebuah parti yang sudah bersedia dalam erti kata yang sebenar, secara komprehensif dan menyeluruh.
“Sama ada dari segi imej parti kita, hala tuju parti, perpaduan dalaman parti, organisasi sampailah ke peringkat akar umbi seharusnya menampilkan sebuah parti yang sudahpun kukuh, mantap dan mempunyai daya juang dan motivasi yang tinggi untuk memastikan kemenangan yang besar untuk Umno dan BN,” katanya.
Dalam wawancara khas bersama pengarang-pengarang Bernama dan Utusan Malaysia menjelang perhimpunan agung itu minggu depan, Perdana Menteri juga menegaskan pentingnya disiplin organisasi ke arah memberi kekuatan dalam menentukan kejayaan parti.
Najib: “Kalau kita ada ‘organisational discipline’, saya percaya itu akan memberi kekuatan untuk kita, kekuatan yang amat besar kerana kita ada bilangan tetapi mesti disulami dengan kekuatan displin organsasi.
“Kalau kita tidak terima arahan mengikut ‘chain of command’, maknanya kita dah melanggar disiplin dan akibatnya kita boleh kalah dalam perang.”
Katanya tumpuan perbahasan haruslah menjurus kepada sikap positif Umno mengenai hala tujunya dan keyakinan terhadap kepimpinan, seterusnya memberi jawapan kepada tuduhan-tuduhan yang dilempar oleh pembangkang terhadap kepimpinan Umno dan BN.
Sambil mengambil contoh PAS sebagai parti yang berselindung di sebalik imej Islam, Najib berkata: “Itu yang harus dibincang oleh parti Umno dan kalau dapat kita ketengahkan hujah-hujah bernas, maka boleh kita muncul sebagai parti yang utama di kalangan orang Melayu”.
Perdana Menteri berkata keadaan Umno kini lebih baik berbanding setahun yang lalu dan “tentunya jauh lebih baik daripada gambaran yang kita lihat dalam pakatan rakyat yang hari ini menampilkan parti yang tidak sehaluan, ikatan yang rapuh dan banyak yang cuba diselindungi mereka selama ini sudahpun terbongkar”.
Katanya perbezaan hala tuju dan pendapat di kalangan pembangkang semakin ketara seperti persoalan siapa patut menjadi perdana menteri, pandangan berhubung kebebasan menukar agama dan pendapat tentang amalan yang tidak selari dengan Islam.
“Kalau kita lihat antara dua itu, Umno dan BN sudah menambah keyakinan dan parti pembangkang lebih menimbulkan banyak tanda tanya dan kontroversi yang boleh dipertikaikan oleh pengundi,” katanya.
Ditanya usahanya membawa kebangkitan semula Umno selepas prestasi merosot BN pada pilihan raya umum 2008, Najib berkata: “Saya berpegang kepada prinsip bahawa kalau kita dah jatuh kita mesti bangun semula dan kalau kita dah berjaya kita mesti teruskan kejayaan kita”.
Oleh itu, katanya apabila beliau mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, beliau beriltizam untuk membuat apa saja yang termampu untuk kebangkitan semula Umno dan BN, bermula dengan Gagasan IMalaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan sebagai falsafah induk pentadbirannya.
Katanya dasar-dasar pentadbirannya berbentuk inklusif dan keterangkuman dengan menegakkan keadilan sosial di samping mengetengahkan idea-idea baharu yang lebih kreatif.
“Saya amat faham pada abad ke-21 ini, keunggulan akan dapat diperoleh oleh pihak-pihak yang dalam memenangi pertandingan antara idea.
“Sebab itulah banyak program yang kita laksanakan hari ni, tak terfikir sebelum ini. Daripada Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, UTC (Pusat Transformasi Bandar), RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar), TRIMA (Teksi Rakyat 1Malaysia), BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan sebagainya,” kata beliau.