Ternyata Perhimpunan Agung UMNO 2012 (PAU 2012) yang baru beberapa hari selesai bersidang meninggalkan impak dan kesan yang agak menggerunkan ramai pemimpin pembangkang sehingga memaksa mereka tampil mengulas dan bercakap mengenainya.
Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim sendiri nampak gayanya tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya dengan kebangkitan semangat ahli UMNO dan impak positifnya kepada rakyat berikutan perhimpunan parti orang Melayu Islam yang terbesar itu.
Kebiasaannya semasa atau selepas UMNO bersidang di PWTC, pemimpin pakatan pembangkang hanya akan mengulas secara sepintas lalu ataupun hanya mengundang ulasan dari pemimpin pembangkang peringkat bawah sahaja, namun kali ini nampak benar lainnya.
Tampak jelas kebimbangan yang bersarang dalam diri Anwar apabila dalam reaksi segeranya mengulas kejayaan PAU 2012 itu, Anwar menganggap perhimpunan tersebut gagal membincangkan kebajikan rakyat sebaliknya lebih fokus menyerang pakatan pembangkang semata-mata.
Tak cukup dengan tanggapan songsang itu, Anwar putar belit pula teks ucapan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkenaan peristiwa 13 Mei 1969.
Teks ucapan pada para 52 yang disensasikan oleh Anwar dan gerombolan pakatan pembangkang itu tidak sempat dibacakan oleh Shahrizat berikutan kesuntukkan masa antaranya menyebut;-
“Keduanya, dijauhkan Allah, jika kita tidak lagi ditampuk kuasa, maka kestabilan politik negara akan goyang. Pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara kita tidak akan senang. Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi dalam negara kita? Kita pastinya tidak mahu.”
Berdasarkan teks di atas, bagi kita yang memahami selok belok peristiwa 13 Mei 1969 kita tahu tragedi berdarah itu bertitik tolak dari kebiadapan penyokong extrimis DAP berarak meraikan kemenangan tipis mereka sambil membawa penyapu untuk menghalau orang Melayu Islam dari Kampung Baru tika itu.
Dalam tempoh genting itu berlaku beberapa pembunuhan ngeri terhadap orang Melayu Islam, diikuti dengan tindakbalas serentak dari orang Melayu Islam sehinggalah keadaan kembali stabil selepas Darurat diisytiharkan.
Teks para 52 itu hanya menyuarakan kebimbangan sahaja, jika parti pembangkang seperti DAP dan PKR tidak berniat untuk menghuru harakan negara sama ada selepas kekalahan atau kemenangan mereka dalam PRU 13 nanti, maka mereka tidak perlu pun melatah.
Tapi melihatkan kempen keganasan yang pernah dilakukan oleh penyokong PR semasa demonstrasi Bersih 2.0, Bersih 3.0 serta kelakuan biadap pada malam sambutan ambang kemerdekaan yang lalu, usahlah terkedu apabila khalayak umum melihat unsur keganasan dan kebiadapan sudah sinonim dengan PR.
Bimbang benar Anwar apabila segala pekung kejahatan pakatan pembangkang yang diketuainya didedahkan kepada umum, walhal jika segala pendedahan yang dianggapnya sebagai serangan dari UMNO itu hanya retorik sahaja, sebenarnya cukup sekadar pemimpin pembangkang tahap bilis sahaja yang mempertikaikannya.
Apabila Anwar sendiri terpaksa tampil ke depan diikuti dengan Presiden PAS, Hadi Awang turut mengulas sama, maknanya mereka tahu pendedahan yang dibahaskan semasa PAU 2012 itu memberi kesan yang agak besar dalam menelanjangkan kejahilan, kejahatan dan kelemahan pakatan pembangkang.