Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mendakwa kelewatan kerajaan Selangor melaksanakan pembangunan sistem pengepaman tambahan di rumah pam Wangsa Maju di sini, menjadi punca kepada masalah ketiadaan air yang menjejaskan lebih setengah juta penduduk ibu kota sejak seminggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Syabas Datuk Ruslan Hassan berkata cadangan untuk membina sistem itu dikemukakan sejak 2009 dan pada Mac 2012, kerajaan Persekutuan meluluskan pelan pembangunan serta pinjaman untuk projek itu dibangunkan oleh Kerajaan Selangor.
“Tetapi sehingga kini, kita difahamkan projek ini masih di peringkat rundingan reka bentuk oleh Kerajaan Selangor dan dijangkakan projek itu akan mengambil masa setahun untuk disiapkan jika dilaksanakan dengan kadar ‘fast track’,” katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Beliau juga memperjelaskan cadangan untuk membangunkan sistem pengepaman dibuat pada 2009 selepas menyedari masalah kekurangan air akan berlaku ekoran rumah pam Wangsa Maju yang sedia ada telah beroperasi secara ‘overload’ dengan permintaan bekalan air yang meningkat sejak kebelakangan ini.
Rumah pam Wangsa Maju dengan kapasiti bentuk 136 Juta Liter Sehari (JLH)mula beroperasi sejak tahun 2004 di bawah pengurusan Perbadanan Urus Air Selangor Berhad (Puas) dan kebelakangan ini, kadar pengepaman ditingkatkan sehingga mencecah 200 JLH.
“Pada cadangan pembinaan sistem pengepaman tambahan, kami mencadangkan supaya ia dibina dengan kapasiti reka bentuk 180 JLH, tetapi difahamkan Kerajaan Selangor akan membina sistem itu pada reka bentuk 120 JLH,” katanya.
Sebagai rekod, permintaan harian bekalan air di ibu kota, Selangor dan Putrajaya adalah sebanyak 4,400 JLH berbanding bekalan sebanyak 4,436 JLH menyebabkan berlaku masalah kekurangan bekalan rezab sedia ada.
Pada sidang media itu, Ruslan juga mendesak agar Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) oleh Kerajaan Persekutuan atau projek lain yang dicadangkan kerajaan Selangor dapat disegerakan kerana sistem pengepaman tambahan hanya bersifat penyelesaian jangka pendek.
“Penyelesaian jangka panjang memerlukan sumber bekalan air baru seperti Projek Langat 2 dan kami menyokong projek ini kerana menyedari akan berlaku masalah kekurangan air di masa depan. “Syabas tidak mempunyai kuasa dalam projek ini dan kami hanya merayu-rayu agar pelaksanaannya dapat disegerakan untuk kemudahan pengguna,” katanya.