Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng seharusnya memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan pelaburan terutama ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Penyelaras Barisan Nasional (BN) Bayan Baru, David Yim mendakwa ramai pekerja kilang di kawasan Bayan Lepas tidak menerima bonus untuk tahun 2012 berikutan prestasi perniagaan yang kurang baik.
“Ketua Menteri (Lim Guan Eng) harus memberi perhatian kepada ekonomi dan pelaburan dan bukannya bermain dengan isu perkauman untuk mengalih perhatian rakyat Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Lim dikatakan membangkitkan semula isu kalimah Allah semasa perutusan Hari Natal dengan menggesa kerajaan pusat membenarkan kitab Bible bahasa Melayu menggunakan perkataan tersebut.
Yim berkata Lim sekali lagi memburuk-burukkan nama Malaysia semasa perutusan Tahun Baru 2013 baru-baru ini dengan menyatakan negara ini tidak setanding dengan negara jiran.