Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan menarik balik kad keahlian dan menghentikan elaun terhadap mana-mana anggotanya yang dianggarkan lebih daripada tiga juta orang sekiranya mereka menyertai perhimpunan yang didalangi pembangkang di Kuala Lumpur esok.
Ketua pengarahnya Datuk Mustafa Ibrahim berkata tindakan tegas itu wajar dilaksanakan ekoran perhimpunan tersebut adalah bertentangan dengan misi Rela dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin.
“Rela walaupun tidak terlibat secara langsung dalam menjaga keamanan dan keselamatan perhimpunan esok, namun kira-kira 3,000 anggotanya dari Selangor dan Wilayah Persekutuan sedia diturunkan sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Rela ke-41 Tahun di Pusat Latihan Rela Wilayah Selatan Sungai Udang di sini Jumaat.
Terdahulu dalam ucapan perasmian sambutan majlis tersebut, beliau berkata lima strategi utama dirangka bagi memperkasa dan memartabatkan pasukan sukarelawan itu pada tahun ini.
Beliau berkata antara strategi tersebut termasuk memantapkan pengurusan pasukan, menstruktur semula pasukan, mengemas kini semua arahan dan peraturan secara lebih objektif serta berhemah dan berkualiti.