KUALA LUMPUR – Dua aktivis sosial terkenal di peringkat antarabangsa, mengutuk apa yang dikenali sebagai Himpunan Kebangkitan Rakyat, di sini, dan menyifatkannya sebagai tindakan mengkhianati kepercayaan rakyat serta mempersenda demokrasi.
Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata jelas kelihatan ‘tangan’ beberapa pemimpin pembangkang di sebalik penganjuran perhimpunan itu untuk menyembunyikan kebenaran tentang pelbagai masalah peribadi yang mereka alami, manakala Dr Chandra Muzaffar pula menyifatkan penganjuran perhimpunan itu adalah satu tindakan memalukan, yang patut dikutuk oleh semua pejuang kebebasan dan demokrasi, sebagai suatu perbuatan tidak bersopan, biadab dan keji.
Bercakap kepada Bernama, Tunku Abdul Aziz berkata sebenarnya, perhimpunan itu bukan merupakan satu protes terhadap isu nasional yang begitu kritikal kerana sebenarnya tidak ada sebarang isu kritikal, selain untuk mengkhianati kepercayaan orang ramai.
“Seorang pemimpin pembangkang sekali lagi melakukan apa yang dia begitu gemar lakukan iaitu cuba menutup mata kita bagi menyembunyikan kebenaran. Sebenarnya, orang ini patut menyelesaikannya sendiri, tanpa mengheret beribu-ribu orang yang tidak bersalah ke stadium untuk memberi sokongan kepada perjuangan yang hanya mementingkan diri sendiri dan amat sinikal sifatnya,” kata Tunku Abdul Aziz, yang amat terkenal dengan peranan beliau dalam pergerakan antirasuah di seluruh dunia dan bekas penasihat khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Kofi Annan.
“Orang yang menggali lubang, eloklah masuk sendiri ke dalamnya, tapi adakah pemimpin pembangkang ini sedia berbuat demikian?’ tanya beliau.
Tunku Abdul Aziz tidak dapat menyembunyikan kebencian beliau terhadap penganjur perhimpunan itu.
“Saya menjangka orang ramai dapat melihat apa sebenarnya yang tersembunyi di sebalik sandiwara murahan ini, tapi saya kecewa kerana ada orang cerdik dalam kalangan kita yang rela dicucuk dan ditarik hidung mereka supaya merestui perbuatan yang sungguh keji daripada segi moral ini.
“Ternyata, pembangkang sanggup melakukan apa saja untuk mencetuskan kacau bilau dan suasana cemas secara maksimum dalam masyarakat, yang sebenarnya sudah jemu dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab yang menjadi senjata pilihan pembangkang sejak sekian lama,” katanya.
Tunku Abdul Aziz menentang keras perhimpunan Bersih 3.0 tahun lepas, yang dicemari keganasan dan pendirian ini beliau pamerkan secara jelas dengan keluar daripada DAP, parti politik yang menyokong demonstrasi jalanan. Ketika itu, beliau adalah naib pengerusi DAP.
“Saya ingin menggesa semua rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan diri mereka daripada diperdaya oleh parti pembangkang yang tidak bertanggungjawab dan begitu berharap untuk menguasai Putrajaya, tanpa mengambil kira beban yang akan ditanggung orang ramai, termasuk mereka sendiri.
Dr Muzaffar, presiden International Movement for a Just World (JUST), berkata sekiranya perhimpunan itu diadakan semata-mata sebagai saluran untuk melampiaskan kebencian dan kemarahan berasaskan pembohongan dan penyelewengan yang menjijikkan, maka ia mempersendakan demokrasi dan mengkhianati kebebasan.
Kata Dr Muzaffar, beliau kecewa apabila dimaklumkan bahawa kehadiran seorang saksi dalam satu kes mahkamah berhubung saman fitnah, akan dibangkitkan pada perhimpunan esok.
“Jika perkara ini benar, ada cubaan untuk menggunakan ‘kuasa rakyat’ bagi menghalang proses keadilan daripada berjalan dengan sewajarnya. Ini merupakan perbuatan yang mempersenda keadilan. Hanya golongan fasis yang sanggup memperkuda orang ramai untuk menentang sistem mahkamah,” katanya