ALOR SETAR, 14 Jan — Tindakan PAS mengubah pendirian dan akhirnya akur dengan menyatakan bahawa kalimah Allah adalah khusus untuk Islam dan tidak boleh diguna agama lain membuktikan mereka jahil dalam agama.
Pengasas Pondok An-Najmiyah di Pengkalan Kubur, Kelantan, Abdullah Samah berkata tindakan itu juga membuktikan parti pembangkang itu kurang ilmu agama dan tidak layak menjadi pemimpin.
“Berkaitan wujud pihak yang nak membenarkan penggunaan kalimah Allah (oleh bukan Islam) dan kemudian kembali rujuk (ubah pendirian), membuktikan kepada kita mereka (PAS) ini jahil dalam agama, bagaimana mereka nak tegakkan Islam?.
“Bila dah ‘lekat celah pagar’ barulah nak rujuk kembali (ubah pendirian). Segalanya terbukti mereka ini celaru, (ilmu) politik tak cukup, (ilmu) agama tak cukup,” katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.
Abdullah mengulas keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS malam tadi yang memutuskan bahawa kalimah Allah hanya untuk Islam setelah didesak pelbagai pihak termasuk mufti-mufti negeri.