ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan memberikan khidmat bakti yang jauh lebih baik sekiranya masih diberi mandat pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata hanya BN yang dapat membuat perubahan terancang dan menentukan pertumbuhan dalam sektor-sektor tertentu bagi meningkatkan pendapatan negara.
“Kita dapat buat perubahan terancang, orang yakin dengan kita. Bila ada pelaburan besar, hasil kerajaan akan bertambah dan kita akan gunakan pendapatan itu untuk memberi bantuan kepada rakyat.
“Kita bagi BR1M, bantuan persekolahan anak-anak, untuk pelajar universiti… itu setakat ini… Kita boleh buat lebih lagi pada masa depan kalau dapat mandat rakyat,” katanya ketika berucap sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dekat sini untuk lawatan sehari di Kedah Khamis.
Beliau berkata perubahan mendadak dalam pentadbiran sesebuah negara tidak mungkin akan memberi kesan yang lebih baik.
“Kesan daripada perubahan yang tidak dapat dikawal akan menyebabkan mata wang jatuh, inflasi meningkat, pelancongan lumpuh dan keselamatan negara tidak terjamin,” katanya.
Najib berkata kejayaan pimpinan BN membangunkan negara sehingga kini telahmeyakinkan semua pihak dan buktinya dapat dilihat ketika rombongan perdana menteri melawat Gaza, Palestin baru-baru ini.
Beliau berkata walaupun negara bergolak itu miskin, sambutan terhadap kedatangan beliau sangat meriah dan dilakukan di luar kebiasaan.
“Mereka lakukan semua ini sebab berbesar hati terima pemimpin dari Malaysia, mereka lihat kita datang dari negara yang berjaya dipimpin BN. Kalau tak berjaya, tak mungkin mereka besar hati terima kedatangan saya sebagai wakil rakyat Malaysia,” katanya.