BAGAN DATOH: Keengganan pemimpin pembangkang menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International menggambarkan bahawa mereka tidak telus, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebaliknya telah membuktikan ketelusannya dengan menandatangani ikrar berkenaan.
“Soal kalau ada di kalangan pemimpin pembangkang dan calon-calon mereka tidak mahu menandatangani maka Transparency International harus mengetahui bahawa sebenarnya pihak pembangkang yang tidak mahu telus tetapi pihak kerajaan mahu telus,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,000 penerima di kawasan Parlimen Bagan Datoh di Parit 4, Sungai Sumun di sini, Jumaat.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata tindakan Najib menandatangani ikrar berkenaan adalah contoh yang baik bagi membuktikan ketelusan pihak kerajaan.
“Bagaimana pihak pembangkang mahu menyatakan mereka telus jika mereka tidak mahu menandatangani deklarasi ini?,” katanya.
Akhbar melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail enggan menandatangani ikrar itu.
Najib menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International pada Rabu, membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13.
Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International merupakan kontrak sosial secara sukarela, dengan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum, berikrar untuk menggalakkan integriti, tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan dan mendukung kedaulatan undang-undang.
Calon yang menandatangani ikrar itu bersetuju mematuhi Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturannya; dan memastikan tindakan mereka adalah untuk faedah orang ramai dan bukan untuk kepentingan sendiri.