KUALA LUMPUR – Sabtu lalu, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ampang, Mohd. Fareez Kamal Intidzam telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi mendapatkan jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa berhubung ancaman yang diterimanya.
Mohd. Fareez, 24, mendakwa, beliau serta keluarganya sedang diancam bahaya berikutan terdedahnya satu surat yang diutuskan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Surat tersebut antara lain telah meminta Abdul Hadi menasihatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail supaya berundur daripada terus memimpin parti.
Selain itu, Mohd. Fareez turut percaya Wan Azizah mahu menghancurkan karier politik beliau di dalam PKR kerana cemburu terhadap hubungan rapatnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berikut laporan polis yang telah dibuat oleh Mohd Fareez :
1. Saya seperti penama di atas dengan ini ingin membuat laporan polis kerana saya khuatir dengan keselamatan saya dan keluarga saya yang kini sedang terancam dan dalam bahaya.
2. Semasa menginap di Hotel Sama-Sama KLIA, saya telah diberitahu oleh pihak hotel terdapat beberapa orang yang tidak dikenali cuba mencari maklumat mengenai bilik penginapan saya. Saya percaya bahawa kemungkinan mereka ini adalah dari kalangan penyokong atau orang suruhan Datin Seri Wan Azizah yang marah dengan saya.
3. Saya yakin bahawa saya kini sedang diburu oleh para penyokong atau orang suruhan Wan Azizah, rentetan kesan daripada surat yang ditulis oleh saya kepada Tuan Guru Hadi Awang dan sisipan salinan kepada Tok Guru Nik Aziz serta YB Karpal Singh.
4. Dalam kandungan surat tersebut, saya telah meminta jasa baik Tuan Guru Hadi untuk menasihati Wan Azizah agar sedia berundur kerana beliau tidak layak untuk memimpin parti dan hanya YB Azmin Ali yang layak. Jelas, surat saya tersebut telah menimbulkan kemarahan Wan Azizah terhadap saya.
5. Saya juga percaya bahawa Wan Azizah juga berniat mahu menghancurkan karier politik saya dalam Keadilan atas faktor cemburunya terhadap hubungan rapat antara saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini ada pihak yang mengganggu gugat keselamatan saya dan keluarga.
6. Maka, saya memohon pertolongan dari pihak polis untuk memberi jaminan perlindungan dan keselamatan kepada saya dan keluarga dari pihak yang mahu mengecam saya.