KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan dan dijadikan sebagai inisiatif tahunan.
Beliau berkata BR1M 1.0 dan BR1M 2.0 merupakan satu daripada contoh terbaik iltizam kerajaan dalam menjunjung kesejahteraan rakyat, yang mendatangkan manfaat yang besar kerana dapat membantu meringankan beban mereka yang berpendapatan rendah.
“Sehubungan dengan itu, tuan-tuan dan puan-puan, sukacita saya mengumumkan kerajaan akan menjadikan dan meneruskan BR1M sebagai inisiatif tahunan,” katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (GTP) di Auditorium Perdana, Angkasapuri yang disiarkan secara langsung di sini malam Selasa.
Najib berkata justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya memilih kerajaan yang transformatif dan janganlah memilih kerajaan yang memusnah serta meruntuhkan masa depan rakyat.
“Janganlah sesekali bereksperimen dengan masa depan kerana amat sukar untuk bangkit dan pulih dari kepunahan sekiranya ia melanda akibat pilihan yang salah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan menepati janji serta meletakkan maslahah serta kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya.
“Sebab itulah sebelum berjanji kepada rakyat, kita telah mengkaji, pertamanya, adakah janji yang diberikan kepada rakyat itu akan mendatangkan faedah dan tidak memudaratkan, sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau panjang.
“Keduanya, adakah janji yang dibuat tersebut mampu untuk kita tunaikan? Bukannya janji sekadar janji,” katanya.
Najib berkata dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat teramailah yang menentukan parti mana yang dipercayai untuk membentuk sebuah kerajaan.
“Realitinya, bukan semua kerajaan sama berkemampuan. Ya, betul, jangkaan oleh rakyat kepada setiap kerajaan sama, namun, prestasi setiap kerajaan adalah berbeza.
“Pastinya, ada kerajaan yang berkesan dan ada kerajaan yang lemah serta gagal menunaikan amanah yang diberi. Sebab itulah ada negara yang berjaya meningkatkan taraf daripada status mundur, kepada status membangun dan kemudiannya maju,” katanya.
Beliau berkata ada negara pula tidak berubah statusnya, terus terperangkap sama ada dalam kemunduran atau membangun dan ada juga negara bersifat regresif hingga jatuh tarafnya daripada negara membangun menjadi negara mundur.
Najib berkata kini masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan tentang halatuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Katanya pilihan itu adalah tentang kebolehpercayaan, harapan, masa depan, kelangsungan ceritera kejayaan Malaysia dan janji ditepati.
Justeru, katanya rakyat perlu memilih antara kerajaan hari ini yang telah membuktikan bahawa ia sebuah kerajaan yang boleh dipercayai, mendukung harapan, berusaha gigih mencipta masa depan yang lebih baik untuk anak-anak Malaysia, kerajaan yang meneruskan dasar-dasar yang terbukti berjaya.
“Atau pihak sebelah sana yang, apabila bercakap ibarat lidah tidak bertulang, apabila diberi amanah pula mereka mengambil mudah,” katanya.
Najib berkata kerajaan bukanlah seperti mereka yang menerbitkan manifesto apabila musim pilihan raya, tetapi setelah menjadi kerajaan, janji itu dimungkiri.
Beliau berkata sudahlah manifesto yang dibuat tidak tunaikan, mereka terbitkan pula janji baharu dalam bentuk buku jingga yang ternyata tidak dikaji dengan baik kemampuannya dan kesan kepada kewangan negara.
“Tidak cukup setakat itu, nampaknya, belum pun kering dakwat dokumen buku jingga, dikeluarkan pula manifesto baharu. Pucuk pangkalnya, jika janji lama dimungkiri, janji baharu yang dibuat hampir mustahil untuk ditunaikan.
“Maka, bolehkah rakyat berpegang kepada janji-janji baharu mereka? Adakah sebenarnya mereka boleh dipercayai? Mampukah kita mempertaruhkan harapan masa depan anak cucu kita kepada mereka? Walhal dengan rekod yang buruk, adakah kita yakin mereka mampu mencipta masa depan yang lebih baik?” katanya.
Beliau berkata dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan dan integriti proses pilihan raya, beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bagi memastikan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)bebas dan telus.
“Untuk itu, saya menyeru kepada semua parti politik supaya ‘walk the talk’ dan mempunyai keberanian moral untuk menandatangani ikrar yang sama,” katanya.
Najib turut mengajak seluruh rakyat supaya membina masa depan yang gemilang untuk semua dan menjanjikan pulangan adil kepada mereka yang bekerja keras, berkreativiti, inovasi dan sanggup mengambil risiko.
“Marilah kita bina sebuah Malaysia yang menjanjikan taman kebahagiaan untuk semua,” katanya.