Kematian penyiasat persendirian Balasubramaniam A/l Perumal akibat sakit jantung sehingga kini masih ditangisi kaum keluarga dan sanak saudaranya. Ada di kalangan mereka menyalahkan PR kerana terlalu mendesak mendiang untuk aktif di atas pentas ceramah sebagai punca kematiannya.
Dikira dari segi fakta klinikal memang ada logiknya memandangkan seseorang yang mempunyai masalah jantung biasanya perlu banyakkan berehat dan senaman ringan.
Mendiang yang lebih dikenali sebagai PI Bala, sebelum kematiannya pernah terjatuh ketika berceramah di Kota Bharu, hasil pemeriksaan kesihatan mengesahkan beberapa saluran arteri ke jantung mendiang tersumbat.
Jika PR prihatin dan tidak terlalu mendesak sebaliknya memberi peluang mendiang PI Bala berehat sementara menunggu selesai pembedahan pintasan jantung yang telah ditetapkan, ada kemungkinan kematiannya dapat dielakkan.
Tapi takdir menentukan ajal mendiang sudah sampai maka kita semua seeloknya sama-sama mengucapkan takziah kepada keluarganya.
Bagaimana pun, kematian mendiang rupanya masih menjadi buah mulut sesetengah pihak dalam PR apabila ada yang menganggap tindakan membawa penyiasat persendirian itu pulang ke Malaysia untuk membantu PR hanya kerja sia-sia dan merugikan PR.
Pandangan itu rupanya turut dikongsi sama oleh sebuah portal pro PR yang terkenal dengan sikap kritis iaitu suarapakatanrakyat.com dalam artikelnya bertajuk “Strategi Bawa Pulang Bala, Bencana Untuk Pakatan Rakyat”.
Menurut laman itu, PI Bala adalah seorang bekas anggota polis yang pernah memiliki rekod salah laku buruk semasa berkhidmat dalam PDRM. Antara kesalahan yang pernah dilakukannya termasuklah menculik (Akta Culik) dan menampar orang awam (Akta kelakuan Tidak Senonoh).
Berdasarkan rekod buruk sedemikian, portal itu berpandangan ia memberi kesan buruk terhadap imej PR sekaligus menjejaskan kepercayaan umum terhadap kempen PR mengenai isu Altantuya.
Kebimbangan yang diluahkan oleh portal itu ada asasnya. Mana mungkin orang ramai mahu meletakkan kepercayaan pada cerita seorang bekas anggota polis yang memiliki rekod buruk sedemikian.
Lagi pun sehingga saat kematiannya, PI Bala tetap enggan menjelaskan isu wang RM50,000 milik Razak Baginda yang sepatutnya diserahkan kepada Altantuya sebaliknya telah di songlap olehnya.
Itu belum lagi dikira dari segi kredibiliti mendiang yang kerap membuat Akuan Bersumpah (SD) bersilih ganti dan saling bercanggah di antara satu sama lain untuk satu isu yang sama.
Dengan segala macam rekod buruk di atas, memang agak sukar untuk khalayak umum mengambil peduli atas setiap percakapan mendiang. Namun demikian, suarapakatanrakyat.com telah terlambat dalam menegur parti pujaannya, nasi sudah menjadi bubur dan sudah tiada gunanya lagi.