Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan digesa menyiasat aduan pengguna terhadap Air Asia.
Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata kementerian terbabit bertanggungjawab melakukan siasatan itu bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan pelbagai pihak.
Antara perkara yang dibangkitkan kejadian seorang ibu, Izan Suhaila Mohd Ali yang mendakwa dia serta anak 14 bulannya, Maryam Sofea Mohd Reza dihalang menaiki pesawat itu di Vietnam atas alasan kesihatan.
Kejadian itu didakwa berlaku 18 Mei lalu ketika kedua beranak itu hendak menaiki pesawat berkenaan untuk pulang ke ibu negara.
Mereka kemudiannya dibawa pulang oleh penerbangan Malaysia MAS dari negara itu.
Selain itu, sekumpulan jemaah umrah juga mendakwa Air Asia X membatalkan jadual penerbangan kembali ke tanah air dari tanah suci Makkah pada saat terkahir atas alasan “komersial”.
11 jemaah terbabit yang sepatutnya pulang pada 13 April diminta pulang sehari lebih awal atau lewat tiga hari.
Syarikat terbabit juga dikatakan tidak membayar pampasan untuk menanggung kerugian jemaah berkenaan.