“Jangan terus bermain api perkauman dengan mencabar apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan negara,”
Amaran itu dibuat oleh Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia atau GAGASAN, Syed Anuar Syed Mohamad kepada pertubuhan Dong Zong, yang disifatkan tidak menghormati kaum lain, khususnya melayu dalam membuat sesuatu kenyataan.
Ia berhubung tuntutan Dong Zong terhadap kerajaan supaya mengiktiraf peperiksaan gabungan Sekolah Menengah Cina, UEC bagi kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam, IPTA.
Menurut Syed Anuar, kerajaan tidak harus berkompromi dengan tuntutan itu kerana lulusan UEC berada di luar sistem pendidikan negara.
Di samping itu, ia juga jelas bertentangan dengan dasar intergrasi nasional.
GAGASAN juga kesal dengan tindakan Dong Zong mempolitikkan isu perlantikan dua menteri kabinet mewakili kaum cina.
Sebaliknya, gagasan berpendapat pertubuhan itu sepatutnya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana masih melantik kaum cina ke dalam kabinet, walaupun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 jelas menunjukkan sebahagian besar kaum cina menolak Barisan Nasional, khususnya parti MCA dan Gerakan.