Hanoi: Protes anti-China berhubung tuntutan Kepulauan Spratly meletus di dua kota utama Vietnam semalam. Ia kali pertama protes meletus dalam tempoh setahun ketika ketegangan meningkat di antara Vietnam dan China dalam isu Spratly dan Laut China Selatan.
Perarakan kamu mencetuskan kekacauan dan menjejaskan dasar luar parti serta kerajaan” – Polis
Dibenar berarak
Polis pada mulanya membenarkan 200 penunjuk perasaan berarak dari Opera House tetapi mengarahkan mereka bersurai selepas 30 minit ia berlangsung.
Bagaimanapun, sebahagian penunjuk perasaan meneruskan bantahan menyebabkan polis menahan 20 daripada mereka.
Mereka menjerit ‘Down with China’ (Jatuhkan China) selain membawa sepanduk bermaksud ‘Perluasan tentera China ancam keamanan dan keselamatan dunia.’
Ketika menggesa mereka bersurai, polis menggunakan pembesar suara memberi jaminan bahawa kerajaan berazam mempertahankan kedaulatan dan wilayah negara secara aman mengikut undang-undang antarabangsa.
“Perarakan kamu mencetuskan kekacauan dan menjejaskan dasar luar parti serta kerajaan,” kata polis.
Satu lagi protes lebih kecil berlaku di Ho Chi Minh, lapor blogger dan aktivis, Huynh Ngoc Chenh.
Katanya, kira-kira 100 orang berhimpun melakukan protes selama 10 minit apabila diarah bersurai.
Vietnam dan China sudah lama bertegang urat mengenai siapa yang memiliki Laut China Selatan, pertikaian membabitkan Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan.
Vietnam dan Filipina membantah peri laku agresif China di perairan itu sejak dua tahun lalu.
Vietnam tuduh China sabotaj
Minggu lalu, Vietnam menuduh kapal China mensabotaj satu alat peninjau gegarannya di Laut China Selatan.
Minggu lalu, Vietnam memberi amaran kepada China supaya tidak mengulangi perbuatan itu dan menyerahkan senarai pencabulan Beijing di perairan berkenaan.
Baru-baru ini, China mengeluarkan pasport baru mengandungi peta menunjukkan kawasan miliknya di situ yang mencetuskan kemarahan Hanoi dan Manila.
Pada musim panas 2011, bantahan anti-China berlangsung setiap minggu.