Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail hari ini meminta rakyat supaya tidak mengheret institusi raja dengan emosi yang tidak terkawal demi memuaskan hati sesetengah pihak.
Titah baginda institusi raja sedikit sebanyak turut terpalit dengan pelbagai provokasi apabila wujudnya beberapa isu sensitif yang mencabar kedaulatan dan perundangan negara mutakhir ini.
Justeru, titah baginda, sebarang percubaan melibatkan institusi berkenaan dengan emosi yang tidak terkawal seolah-olah mempermainkan ketinggian kedudukan Perlembagaan Persekutuan.
“Di bawah Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri dan menteri besar, dan berhak memberi titah bersifat nasihat dan panduan kepada pemimpin kerajaan dan politik,” titah baginda semasa merasmikan seminar Institusi Raja anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah institusi Raja Melayu adalah unik kerana mengamalkan pemuafakatan menerusi mekanisme Majlis Raja-Raja yang bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.
“Kita tidak seharusnya lupa bahawa melalui perundingan Majlis Raja-Raja tercetusnya pelbagai gagasan yang mendatangkan manfaat untuk seluruh rakyat jelata, terutama yang berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda bertitah hanya elemen pendidikan merupakan ubat yang mujarab bagi menangani isu segelintir rakyat Malaysia yang tidak menghormati institusi Raja.
“Saya percaya pendedahan lebih meluas tentang konsep pemerintahan yang berteraskan sistem Raja Berpelembagaan wajar diketengahkan menerusi pembelajaran sekolah bermula di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya,” titah baginda.
Sementara itu, baginda berharap seminar dua hari itu mampu menjadi medan perkongsian terbaik untuk Raja dan rakyat mengenali peranan masing-masing dengan lebih dekat.
Seminar bertemakan “Melestarikan Pemerintahan Beraja” itu buat julung kalinya dianjurkan sempena sambutan ulangtahun Hari Keputeraan ke-70 Raja Perlis.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.