Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menafikan beliau bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini seperti yang digembar-gemburkan portal berita propembangkang, The Malaysian Insider.
Menurut Perdana Menteri, beliau juga pada masa sama tidak ada sebarang perancangan untuk mengadakan pertemuan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
“Tidak ada… tidak ada… tidak ada perjumpaan (dengan Anwar) dan saya pun tidak tahu siapa yang sebarkan berita itu.
“Memang tidak ada perancangan. Secara kebetulan dia (Anwar) di sini (Jakarta) dan saya juga di sini,” kata Mohd Najib kepada wartawan selepas majlis makan tengah hari bersama pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia di dewan serbaguna Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.