Akhbar the New Straits Times semalam memberi ruang khas bagi menangani isu fitnah mengenai pembelian kapal selam scorpene serta pembunuhan Altantuya. Isu ini sebelum ini telah pun tenggelam kerana segala pembohongan dan penipuan SUARAM dan pembangkang telah pun terbongkar.
Namun, SUARAM dan pembangkang masih lagi berusaha untuk menghidupkannya mungkin kerana ketandusan isu. Terbaru, SUARAM mengadakan Jamuan Berbuka Puasa dengan bertemakan fitnah ini bagi mengutip derma dari orang ramai. Apa yang dilakukan oleh SUARAM ini amatlah jijik sekali kerana mengajak orang Islam berbuka dengan fitnah dan kemudiannya mengutip derma pula dari mereka.
Justeru, usaha NST untuk memberi penjelasan terperinci mengenai isu ini dilihat sebagai usaha yang tepat bagi menghentikan SUARAM dari terus mengambil kesempatan ke atas orang ramai.
Untuk tujuan itu, NST telah mewawancara Jasbir Singh Chahl iaitu seorang arkitek yang terlibat secara langsung dalam urusniaga ini. Nama Jasbir Singh Chahl pernah digunakan oleh SUARAM dengan mewar-warkan kononnya beliau merupakan antara salah seorang yang telah menerima sapina oleh mahkamah Perancis bagi kes ini. Jasbir pantas menafikannya dengan membuat kenyataan balas melalui media bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang notis sapina.
Dan kini, Jasbir tampil sekali lagi menerangkan apa yang telah diterangkan berkali-kali sebelum ini. Antara fakta yang tidak pernah berubah sama ada dalam wawancara dengan Jasbir, kenyataan pihak Perancis, keterangan di mahkamah dalam kes pembunuhan Altantuya mahupun dalam penjelasan kerajaan Malaysia adalah:
1. Altantuya bukan seorang penterjemah malah penguasaannya dalam bahasa Perancis juga tidak dapat disahkan.
2. Semua yang terlibat secara langsung dalam urusniaga scorpene, termasuk Jasbir, tidak pernah berjumpa dengan Altantuya sepanjang tempoh urusniaga tersebut iaitu pada tahun 2000 – 2002.
3. Altantuya tidak pernah menjejakkan kaki ke Perancis dalam tempoh itu sepertimana yang disahkan oleh polis Perancis.
4. Abdul Razak Baginda yang dikaitkan dengan Perdana Menteri dan Altantuya sekali gus, hanya berjumpa dengan Altantuya pada tahun 2004.
5. Altantuya dibunuh pada tahun 2006.
6. Syarikat DCNS yang menjadi pembekal scorpene menjalankan semua urusannya dengan syarikat di seluruh dunia dalam Bahasa Inggeris serta tidak memerlukan penterjemah apatah lagi dari Mongolia.
7. Syarikat Perimekar yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd, LTAT dan juga Boustead.
8. Syarikat Perimekar menerima bayaran atas perkhidmatan logistik, latihan serta pengurusan termasuk menyediakan tempat tinggal kepada 145 staff dan 49 pegawai di Perancis dan Sepanyol.
9. Syarikat Perimekar tidak pernah menerima komisyen bagi pihak Dato’ Seri Najib dan semuanya terbukti dalam laporan audit di mana keuntungan selepas cukai syarikat mencatatkan jumlah sebanyak RM105,111,191.
Semua fakta dan angka yang dibentangkan adalah menepati gambaran penceritaan, kenyataan dan penjelasan semua pihak yang terlibat. Tiada satu pun yang berubah. Apa yang berubah hanyalah angka dan fakta yang dikemukakan oleh SUARAM dan pembangkang. Oleh itu, kita tidak perlu menjadi seorang ‘genius’ untuk melihat pihak mana yang berbohong dan pihak mana yang bercakap benar sekiranya benar ikhlas ingin mencari kebenaran
Apa yang menarik ialah Jasbir, dikatakan hampir meninggikan suara ketika wawancara kerana berang dengan tuduhan yang tidak berasas pihak pembangkang. Jelas, sebagai seorang arkitek berpengalaman dan telah bekerja dengan syarikat gergasi negara luar sejak berusia 20-an lagi, Jasbir kurang senang apabila namanya diheret ke dalam politik. Beliau sebelum ini pernah bekerja di syarikat pertahanan dan pembinaan di London dan telah terlibat dalam urusan perniagaan berjumlan berbilion dolar. Dari situ beliau membina hubungan yang baik dengan kontraktor pertahanan di Eropah. Beliau kembali ke Malaysia pada tahun 1981 sebelum menyertai syarikat Thomson-CSF Int. iaitu anak syarikat Thales yang mana membawanya kepada urusan pembelian scorpene oleh kerajaan Malaysia.
Dengan penjelasan Jasbir, rakyat Malaysia wajar meletakkan titik noktah ke atas isu skandal scorpene ini. Biarkan SUARAM dan pembangkang terus memainkan isu ini sesuka hati mereka kerana sesungguhnya ia tidak akan ke mana melainkan menghabiskan dana mereka sendiri.