Tidak menarik dan tidak sedap!
Ini antara pandangan segelintir anak muda hari ini apabila ditanya mengenai biskut-biskut tradisional.
Biarpun bukan mewakili suara majoriti, tetapi agak mengecewakan apabila ada yang sekadar memandang ‘sebelah mata’ sahaja biskut tradisional warisan nenek moyang tatkala dihidangkan bersama pelbagai aneka biskut moden.
Bagi mereka, tumpuan selera lebih menjurus kepada citarasa terkini seperti Almond London, chocolate chip, almond choc chip dan banyak lagi yang mana nama biskutnya pun sudah ala-ala kebaratan.
Akhirnya, yang terpaksa menghabiskan biskut-biskut warisan ini adalah ibu bapa mereka sendiri, sanak saudara mahupun rakan taulan yang berkunjung tiba.
Namun demikian, adakah benar dakwaan itu? Adakah benar biskut bangkit kelapa, agar-agar kering, makmur dan pelbagai lagi biskut tradisional ini tidak sedap sepertimana diperkatakan oleh segelintir anak muda ini?
ITU SILAP
“Bukan tidak sedap, tetapi apabila kita makan sesuatu biskut itu contohnya putu kacang hijau yang hapak dan sangat keras. Ini menyebabkan mereka yang baru mempelajari memakan biskut tradisi itu terus membuat kesimpulan ia tidak sedap.
“Sikap anak muda pula apabila sudah makan sesuatu tidak sedap, mereka sudah tidak mahu lagi makan untuk kali kedua,” kata penggemar biskut tradisional Normazalamuna Salehin.
Walhal, ‘kualiti’ biskut itu yang menjadi isu sebenarnya. Sebagaimana biskut-biskut moden yang acapkali diperkatakan perihal ‘kualiti’ nasib serupa turut menimpa kepada biskut warisan nenek moyang itu.
Berkongsi pengalaman, surirumah ini pernah terbeli biskut bakar kacang yang tidak memenuhi citarasa sebenar apabila peniaga itu telah mengurangkan bahan dalam pembikinan biskut berkenaan.
Sedangkan, biskut yang dibelinya itu bukan di tepi jalan tetapi ditempah selepas merasai sendiri akan kesedapannya itu. Namun, kualiti diharapkan itu jauh berbeza daripada apa dirasai sebelum ini.
Meluahkan rasa terkilannya dengan sikap peniaga yang lebih mengutamakan keuntungan, beliau berkata itu adalah antara penyebab mengapa segelintir anak muda hari ini tidak gemar biskut tradisional.
Tambahan pula, kebanyakan mereka sebelum ini tidak pernah merasai yang benar-benar berkualiti lantas berpendapat bahawa biskut tradisi ini sememangnya tidak membangkitkan selera.
WAJIB ADA
Dalam hal ini, ibu bapa telah cuba mendidik anak-anak untuk mengenal dan mencintai biskut tradisional namun disebabkan kesukaran mendapatkan yang ‘terbaik’ adakalanya telah membantutkan impian mereka itu.
Biarpun demikian, itu tidak pernah mematahkan semangat Normazalamuna dalam menerapkan rasa cintakan biskut warisan kepada anak-anaknya.
Dibesarkan dalam persekitaran pembuatan sendiri biskut tradisi, beliau faham benar akan kualiti dan rasa asal bangkit kelapa, batang buruk, rempeyek, cakar ayam dan seumpama.
Katanya, biskut bangkit kelapa yang mengikut resipi asal sangat sedap dan apabila dimakan akan cair dalam mulut serta berbau harum.
Disebabkan itulah, beliau yang menetap di Pulau Pinang sanggup meredah mana-mana pelosok kampung dan pernah sehingga ke Perak semata-mata untuk mendapatkan biskut tradisi berkualiti dan paling penting mengikut resipi asal.
“Selalunya, di kawasan kampunglah tempat terbaik untuk mencari biskut tradisi. Ini kerana, mereka (pengusaha) tidak mementingkan keuntungan tetapi hanya ingin memberikan terbaik.
“Akak selalunya akan bertanya rakan-rakan mana hendak cari biskut tradisi yang sedap. Cuma, biskut makmur sahaja akak akan buat sendiri,” katanya.
RASA TIDAK LENGKAP
Bagaikan tidak lengkap sambutan hari raya Aidilfitri ini tanpa adanya hidangan biskut-biskut tradisional. Jadi, beliau akan memastikan pelbagai aneka biskut warisan dan moden terhidang di atas meja setiap kali menjelangnya syawal.
Kemeriahan raya bagi Normazalamuna lebih dirasai apabila dapat menikmati biskut tradisi ini bersama keluarga sambil menggamit nostalgia zaman kanak-kanak membantu arwah nenek membuat biskut raya.
“Akak dibesarkan oleh arwah opah (nenek). Setiap kali menjelangnya awal Ramadan, opah akan menjemur gula, kemudian ditumbuk dan diayak seterusnya disimpan untuk kegunaan biskut tradisional raya.
“Akak pula akan tolong menyibuk sambil menumbuk gula dan kadang-kadang kena marah apabila gula bersepah. Masih teringat momen mencuri makan putu kacang hijau (malam) yang masih dalam proses dijemur. Apabila arwah mengira, sudah kurang putu kacang hijau yang dibuatnya,” kata Normazalamuna.
Beliau mengakui, adakalanya berasa terkilan kerana tidak menyimpan kesemua resipi asal arwah neneknya apabila berhadapan dengan kesukaran mendapatkan biskut-biskut tradisi.
Namun begitu, biskut makmur dan pulut kacau akan dibuatnya sendiri berdasarkan resipi arwah nenek serta daripada pembelajaran dengan ibu mentuanya.
INOVASI BISKUT TRADISI
Harapan Normazalamuna agar biskut ini terus diminati ramai dan mengesyorkan ibu bapa hanya mendapatkan yang berkualiti dan mengikut resipi asal.
Mungkin sukar, namun itu adalah antara cara menarik minat anak-anak muda mencintai biskut tradisi yang sememangnya sedap selain suntikan inovasi pengusaha itu sendiri.
Bagi pengusaha kerepek dan agar-agar kering, Rumiyati Zulhadi, 38 telah membuat pembaharuan dalam penjualan agar-agar kering. Berbentuk warna-warni, ia mempunyai rasa ranggup di bahagian luar tetapi lembut dan manis di dalamnya.
“Mak Teh (gelaran dirinya) telah mempelbagaikan bentuk agar-agar kering ini. Daripada hanya berbentuk kiub empat segi, Mak Teh buat pelbagai corak seperti ‘candy’.
“Sambutan memang menggalakkan. Selain perlu mengekalkan rasa asli, biskut tradisional ini juga memerlukan kreativiti dalam pemasarannya supaya ia terus berkekalan sehingga bila-bila,” katanya.