Akhbar Nanyang Siang Pau semalam memperlihatkan kebimbangan dengan kewujudan begitu banyak kumpulan kongsi gelap dengan menyiarkan artikel bertajuk “Kawal dan Banteras Kongsi Gelap”. Kita sedia maklum bahawa selama ini, Nanyang Siang Pau seperti juga akhbar-akhbar berbahasa Cina yang lain begitu tegar menyebarkan prejudis dan kebencian terhadap kerajaan.
Sehubungan dengan itu, mereka sentiasa cenderung menyokong pembangkang, dan secara terang-terangan membawa agenda DAP.
Tanpa memuji pihak polis yang giat menggempur kongsi gelap, akhbar tersebut mengajak rakyat mengambil serius masalah ini. Pendirian akhbar ini atau artikel ini, dilihat agak bercelaru dengan pendirian pembangkang yang kini sedang giat membela kongsi gelap.
Setakat ini, pembangkang tidak lagi mampu menafikan yang mereka membela kongsi gelap apabila beberapa pemimpin DAP secara terang-terangan mempersoal tindakan polis menggempur kongsi gelap walaupun berlaku balas membalas tembakan.
Keadaan bertambah kusut bagi pembangkang apabila tersebar berita bahawa seorang bekas banduan yang juga ketua kumpulan kongsi gelap telah dilantik menjadi pemimpin DAP peringkat bawahan di Pulau Pinang. Dilaporkan juga bahawa polis telah menangkap lelaki berkenaan di Thailand sebelum didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara di negara ini.
Perkembangan ini membuatkan sebahagian dari pemimpin dan ahli DAP mula merasa cuak atau gusar. Kegusaran ini dapat dikesan melalui artikel di Nanyang Siang Pau tersebut di mana ia menyebut “Apa yang memeranjatkan kita, di kalangan ahli-ahli kongsi gelap ini, penglibatan kaum India adalah yang paling ramai.”
Memandangkan kongsi gelap selalunya dikaitkan dengan kaum Cina, maka tidak hairanlah jika Nanyang Siang Pau (baca: DAP) menyangka yang ia dijuarai oleh kaum Cina.
Walaupun DAP sentiasa menafikan, tetapi seluruh rakyat dapat mengesan kaitan DAP dengan kumpulan gangster. Peningkatan aktiviti dan perniagaan gelap seperti rumah urut, pusat hiburan atau pusat perjudian sejurus selepas PR menguasai Selangor menguatkan persepsi rakyat bahawa DAP berkait rapat dengan gangster. Justeru, rakyat langsung tidak terkejut apabila pemimpin DAP membela gangster.
Namun, apabila terdedah bahawa yang menjuarai kongsi gelap adalah kaum India, maka tentulah sukar bagi DAP untuk menguasai mereka.
Nampaknya, strategi DAP untuk membebaskan kongsi gelap dengan mendesak kerajaan menghapuskan Akta Pencegahan telah membawa akibat yang melepasi jangkaan atau perancangan mereka. Maka tidak hairanlah Nanyang Siang Pau mula menyuarakan kebimbangan bagi pihak masyarakat Cina (DAP).
Kita sedia maklum bahawa DAP tidak pernah mempercayai kaum lain di dalam parti mereka. Berbagai cara dilakukan termasuk menipu dan memanipulasi bagi memastikan kaum lain selain Cina tidak terpilih sebagai pemimpin pusat. Pendek kata, diskriminasi terhadap kaum bukan Cina di dalam DAP sudah pun menjadi satu undang-undang tidak bertulis yang mengikat sesama kaum Cina.
Justeru, kewujudan kumpulan kongsi gelap India yang lebih ramai dari kongsi gelap Cina semestinya satu masalah yang besar kepada DAP.
Jika sebelum ini DAP begitu hebat menghentam kerajaan kerana Akta ISA, tetapi kini, melalui Nanyang Siang Pau juga mereka menyuarakan keperluan kepada Akta Pencegahan 1959. Turut dicadangkan ialah agar kerajaan mencontohi Operasi Helang Singapura (di Malaya) pada tahun 1950an dan 60an untuk mengawal gangsterisme dalam negara.
Kini terbukti sudah bahawa Akta pencegahan dan keselamatan dalam negeri adalah penting untuk keamanan negara. Terbukti juga bahawa idea-idea pembangkang untuk menghapuskan Akta tersebut adalah idea yang tidak bijak serta membawa kemusnahan.
Kini, pembangkang terpaksa menjilat ludah mereka sendiri mendesak agar Akta pencegahan dikembalikan, biarpun bertukar nama dan ‘perkataan’ di sana sini tetapi yang jelas ia perlu mengandungi klausa-klausa dari Akta yang lama, yang telah terbukti berkesan menjamin pembendungan aktiviti gangsterisme atau kongsi gelap sebelum ini.