Tiga orang dipercayai keracunan makanan selepas menghadiri satu majlis kenduri kahwin di Tanjung Dawai, Merbok, Sabtu lepas meninggal dunia hari ini.
Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari; Mohammad Norraahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia 15 minit selepas itu.
Seorang lagi dikenali sebagai Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani kira-kira pukul 6.30 petang ini.
Nurshazana yang baru tamat latihan amali disahkan meninggal dunia di HSAH manakala Mohammad Norraahmad di Hospital Yan.
Pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar memberitahu wartawan yang menunggu di hospital itu, jenazah Nurshazana dan Mohammad Norraahmad dihantar ke HSB petang ini untuk bedah siasat.
Menurut Hairul Azahar Harun, 33, Nurshazana yang merupakan sepupunya mengadu sakit perut selepas pulang makan kenduri di rumah sepupu mereka di Tanjung Dawai tiga hari lepas.
Beliau yang ditemui di HSB berkata ibu tiri Nurshazana serta dua adiknya, lelaki berumur 8 tahun dan perempuan berumur 10 tahun juga keracunan tetapi tidak serius.
“Nurshazana ditemui anggota keluarganya tertiarap dalam bilik tidurnya pagi ini lalu terus dibawa ke HSAH untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia di hospital itu,” katanya.
Hairul Azahar berkata Nurshazana anak ketiga dari tujuh beradik berada dua hari lebih awal di rumah sepupu mereka sebelum kenduri berlangsung. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyak malam ini.
Ibu Mohammad Norrahmad, Norma Khalid, 45, yang ditemui di HSB berkata anak bongsu dari lima beradik itu mengikuti suaminya, Yusof Arifin, 50 ke majlis kenduri tersebut Sabtu lepas.
“Mereka makan ayam masak merah di rumah kenduri. Malamnya mereka mengadu sakit perut. Apabila keadaan anak saya semakin teruk hari ini, kami bawa dia ke Hospital Yan. Dia tidak sedarkan diri sebaik tiba dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 tengah,” kata Norma.
Beliau berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Singkir, esok.
Sementara itu Bernama difahamkan keluarga Allahyarham Ibrahim membawa balik jenazahnya ke Besut petang ini untuk dikebumikan.