Timbalan Ketua Menteri dan pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menang tanpa bertanding jawatan presiden parti selepas pencalonan ditutup Isnin.
Ketika mengumumkannya hari ini, pengerusi jawatankuasa pemilihan PBS Datuk Johnny Mositun berkata Pairin menerima pencalonan daripada kesemua 57 bahagian PBS, membuktikan keyakinan berterusan terhadap beliau untuk menerajui parti.
Dalam apa yang dilihat sebagai saingan paling sengit, kesemua tiga penyandang timbalan presiden berdepan cabaran kali ini, katanya kepada pemberita di ibu pejabat parti di Donggongon di sini.
Mositun berkata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang juga penyandang timbalan presiden di bawah kuota Bumiputera bukan Islam, dicabar setiausaha agung Datuk Henrynus Amin.
Beliau berkata Ongkili, yang menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti sebelum ini, mendapat 32 pencalonan manakala Henrynus memperoleh pencalonan daripada 20 bahagian.
Bagi kuota Bumiputera Islam, tiga orang layak bertanding iaitu penyandang timbalan presiden Datuk Almudin Kaida dengan 17 pencalonan; Ketua Wanita Senator Datuk Jamilah Sulaiman dengan 26 pencalonan; dan, Rakam Sijim dengan tujuh pencalonan.
Jawatan timbalan presiden di bawah kuota Cina akan turut menyaksikan pertandingan tiga calon yang memperoleh cukup pencalonan iaitu penyandang Datuk Dr Yee Moh Chai (33), Datuk Edward Yong Oui Fah (17) dan Datuk Thien Fui Yun (three).
Mositun berkata jawatan Ketua Pemuda berkemungkinan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Datuk Jahid Jahim dengan 45 pencalonan dan Datuk Jikulin Nointin @ Jack (3).
Bagi jawatan Ketua Wanita, empat orang layak bertanding dengan Jamilah selaku penyandang mendapat 16 pencalonan, Adun kawasan Tandek Anita Baranting (21), Datin Dr Lungkiam Dambul Dumaring (empat) dan Sabini Ansumor (lapan), katanya.
Beliau berkata kesemua calon yang layak bagi pemilihan parti mempunyai masa seminggu untuk membuat keputusan sama ada menerima pencalonan itu.
Menurut Mositun, pemilihan jawatan Pemuda dan Wanita akan diadakan pada 21 Okt, manakala pemilihan utama akan berlangsung pada 23 Okt.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan kongres PBS pada 22 Okt, di Hongkod Koisaan di KDCA.