Walaupun kalah dalam pemilihan mengikut sistem “electoral college”, namun Mukhriz mengatasi Hishammuddin dari segi undi popular. Beliau mendapat 55,290 undi manakala Hishammuddin 54,829 undi.
Ketiga-tiga penyandang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Mohd. Tajol Rosli Ghazali ketika mengumumkannya dalam sidang akhbar pukul 1.40 pagi ini berkata, setelah 188 daripada 191 bahagian disahkan kiraan undi, Ahmad Zahid memperoleh 185 undi manakala Mohd. Shafie mendapat 174 undi dan Hishammuddin, 100 undi.
Pesaing terdekat, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir pula mendapat 91 undi.
Walaupun kalah dalam pemilihan mengikut sistem “electoral college”, namun Mukhriz mengatasi Hishammuddin dari segi undi popular. Beliau mendapat 55,290 undi manakala Hishammuddin 54,829 undi.
Dua lagi calon, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam masing-masing sekadar mendapat lapan dan tujuh undi.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata, gandingan beliau, Shafie dan Hishammuddin diyakini akan membantu memperkasakan institusi UMNO dalam usaha memastikan parti itu terus relevan khususnya di kalangan generasi muda.
“Ini penting memandangkan terdapat 6.5 juta pengundi baru pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Biarpun sudah berumur 60-an, tapi pemikiran, cita rasa dan gerak kerja akan tetap mengambil kira pola pemikiran golongan muda,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd