Keputusan rasmi muktamad pemilihan Naib Presiden UMNO semalam menyaksikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meraih 188 undi, diikuti Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dengan 177 undi.
Ketika mengumumkan perkara itu, di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali berkata, slot ketiga kerusi itu diisi Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan 101 undi.
Ini bermakna, Ahmad Zahid dan Mohd. Shafie, masing-masing, memperoleh pertambahan tiga undi manakala Hishammuddin meningkat satu undi, berbanding keputusan awal yang diumumkan 1.40 pagi tadi oleh Tajol Rosli.
Seorang lagi pencabar bagi jawatan itu Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menyaksikan bilangan undinya meningkat kepada 93, berbanding 91 sebelum ini.
Dua calon lagi kekal dengan masing-masing tujuh undi iaitu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Dari segi jumlah undi perwakilan atau lebih dikenali sebagai undi popular di bawah sistem ‘electoral college’ yang diguna pakai dalam pemilihan UMNO kali ini, Zahid mendapat 94,562 undi, Mohd. Shafie (82,252), Hishammuddin (56,604), Mukhriz (57,189), Mohd. Ali (15,294) dan Mohd. Isa (12,783).
Sebanyak 146,500 perwakilan dari 191 bahagian UMNO mengundi mengikut sistem ‘electoral college’ bagi memilih kepimpinan parti di peringkat bahagian dan pusat.