Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan di Parlimen pada sidang Parlimen lalu nyata mendapat perhatian ramai khususnya di kalangan pembangkang. Mereka membangkitkan kononnya kerajaan Barisan Nasional telah melakukan ketirisan dan keborosan sama ada melalui kementerian mahupun agensi kerajaan dalam mengurus tadbir kewangan negara.
Antaranya isu perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika dipegang Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung bayaran RM 1.6 juta untuk artis K-Pop dari Korea.
Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika mengulas mengenai perkara tersebut menjelaskan bahawa tajaan tersebut tidak berlaku pada saat-saat akhir. Sehingga menyebabkan pihak KBS terpaksa membayar sendiri perbelanjaan tersebut.
Sedangkan sebelum ini, Shabery mengatakan perbelanjaan tersebut ditaja oleh pihak swasta. Malah kenyataan Shabery itu turut disokong oleh bekas Setiausaha Kementerian, Datuk Mohid Mohamed pada 2 Jun 2012 yang menegaskan persembahan 3 kumpulan K-Pop dari Korea Selatan itu bukan dibiayai oleh kerajaan.
Maka sebagai rakyat biasa, sudah pasti akan timbul tanda tanya berhubung dua kenyataan berbeza mengenai isu yang sama. Pasti mereka dengan mudah akan terus menghadam semua tohmahan yang diberikan pembangkang sebagai pendedahan yang mempunyai asas.
Padahal secara realitinya, Laporan Ketua Audit Negara sebenarnya tidak memisahkan wang tajaan yang dimasukkan ke dalam akaun Majlis Sukan Negara (MSN). Menurut fakta pihak penganjur sebenarnya telah pun memberikan tajaan sebanyak RM20 juta yang dimasukkan ke dalam akaun MSN.
Sebaliknya Audit Negara melaporkan ia secara pukal dan beranggapan RM20 juta berkenaan adalah ‘pendapatan’ KBS. Dengan kata lain, Audit Negara tidak mengambil kira wang tajaan yang masuk ke dalam akaun Majlis Sukan Negara tetapi hanya mengambil kira wang yang keluar dari KBS.
Dan kesempatan itu, dipergunakan dengan sebaik-baiknya oleh para pencacai Pakatan Rakyat untuk melakukan penyelewengan fakta bagi menghentam KBS. Mereka mendakwa kononnya kerajaan BN telah menyalahgunakan wang rakyat dengan berpandukan kepada kenyataan Khairy Jamaluddin. Sedangkan Menteri KBS itu sebenarnya telah diberikan maklumat yang salah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ini berdasarkan kepada kenyataan Khairy kepada media selepas majlis Dialog Bersama Alumni Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada 9 Oktober lalu apabila diminta mengulas lanjut mengenai kenyataan Shabery yang mempertahankan kenyataan tajaan tersebut.
Khairy menjelaskan kenyataan awal beliau itu berdasarkan kepada laporan yang diberikan oleh pihak kementerian. Atau dalam bahasa mudah ada pegawai pengurusan tertinggi di dalam KBS yang sengaja mahu menyembunyikan fakta sebenar sehinggakan Khairy terkhilaf dalam membuat kenyataan.
Menurut sumber, isu ini terjadi ekoran dari dendam dan perbalahan di antara pihak pengurusan baru KBS dengan pengurusan yang lama. Atau dalam bahasa mudah, ada pihak yang sengaja mahu meletakkan kesalahan kepada Shabery sebagai menteri yang bertanggungjawab.
Ini kerana secara rasionalnya, adalah mustahil mereka yang berada di dalam kementerian GAGAL atau terlepas pandang terhadap kos perbelanjaan ini. Tambahan pula ia melibatkan jumlah wang yang besar.
Oleh yang demikian, Ketua Setiausaha Negara (KSN) perlu segera menjalankan siasatan berhubung isu ini. Jangan disebabkan masalah peribadi di antara rakan kerja, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, dijadikan sasaran kecaman pembangkang.