SUNGAI PETANI – Seorang pelajar perempuan hilang ketika dalam perjalanan ke sekolah semasa berhenti membuang air di tandas Masjid Ar-Rahman di sini semalam.
Fatin Afifah Mohd. Fadzli, 16, sebelum itu membonceng motosikal ditunggang abangnya, Mohd. Amirul Mukhlis, 17, untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, kira-kira pukul 7.15 pagi semalam.
Ibunya, Zarina Mohd. Noor, 39, berkata, bagaimanapun anak lelakinya itu singgah di tandas masjid itu yang terletak berhadapan dengan sekolah kerana Fatin Afifah ingin ke tandas.
“Anak lelaki saya kemudian meletakkan motosikalnya di kawasan masjid dan segera ke sekolah kerana itu kebiasaannya. Dia juga tidak menyedari sama ada Fatin ikut sama masuk ke sekolah selepas itu.
“Bagaimanapun selepas pukul 8 pagi abangnya mendapati Fatin tiada dalam kelas di sekolah, malah tidak pulang ke rumah mereka di Projek Perumahan Rakyat Paya Nahu petang semalam,” katanya ketika ditemui hari ini.
Zarina berkata, dia dan suami mencari Fatin Afifah di merata tempat namun tidak menemuinya sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani pukul 5 petang semalam.
“Saya bimbang keselamatan anak saya. Tiada masalah berlaku sehingga menjadi punca dia hilang, malah saya sekeluarga sentiasa mengawasi pergerakan dan pergaulan Fatin selama ini,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui di mana Fatin Afifah berada diminta segera menghubungi Zarina di talian 017-5847659.