PASIR PUTEH 7 Nov. – Kematian calon Sijil Pelajaran Malaysia, Nur Syazwanie Arifin, 17, dari Maahad Saniah di sini semalam, berpunca daripada saluran darah ke jantung pelajar terbabit telah pecah.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, ia disahkan oleh doktor pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr. Wan Zamri Wan Nawawi yang melakukan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham di Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) dekat sini malam tadi.
Beliau berkata, berdasarkan hasil bedah siasat itu maka pihaknya telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kematian mengejut dan jenazah Allahyarham telah dibenarkan dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan.
“Kes itu disiasat sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, bapa Allahyarham. Arifin Deraman, 48, memberitahu, dia sekeluarga berpuas hati dengan keputusan bedah siasat yang dilakukan dan menganggap kejadian tersebut sebagai ketentuan Ilahi.