Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu menolak cadangan usul seorang Anggota Parlimen untuk membahaskan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia yang ditandatangani semasa pembentukan Malaysia pada 1963.
Timbalan Speaker, Datuk Ismail Mohamed Said berkata beliau menerima usul tersebut daripada Ignatius Dorrel Leiking (PKR-Penampang) Isnin lepas dan memutuskan untuk menolak cadangan itu kerana ia dilihat bukan perkara yang perlu disegerakan.
Terdahulu, ketika mengemukakan cadangan usul berkenaan sejurus selepas tamat sesi soal jawab, Leiking berkata keperluan untuk membahaskan penjanjian itu juga seperti ‘pembaharuan ikrar perkahwinan’ supaya hubungan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dapat dieratkan lagi.
Katanya, perjanjian yang meliputi 20 perkara untuk Sabah dan 18 perkara untuk Sarawak itu sepatutnya dikaji semula pada 1973, namun ia tidak dilakukan.