Dewan Negara hari ini dimaklumkan kerajaan tidak bercadang melaksanakan polisi jangka hayat kenderaan seperti yang dilaksana di negara-negara maju.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, sebarang cadangan berhubung perkara itu perlu diperhalusi dari aspek sosioekonomi kepada rakyat dan negara selain konsultasi semua pihak berkepentingan.
Katanya kenyataan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) itu bersandarkan penemuan mereka dan tidak ada implikasi terhadap dasar atau keputusan kerajaan.
“Kenyataan yang dikeluarkan Miros sebelum ini adalah mengenai kenderaan yang melebihi usia 12 tahun yang tidak selamat digunakan di jalan raya atas beberapa faktor.
“Mungkin terdapat pelbagai kerosakan yang tidak disedari oleh pemandu atau pemilik kenderaan. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan untuk memastikan sesebuah kenderaan berada dalam keadaan baik dan roadworthy demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya menjawab soalan Senator Mohd. Khalid Ahmad.
Beliau menjelaskan, jangka hayat kenderaan tidak hanya bergantung kepada teknologi pembuatannya tapi juga aspek penyelenggaraan selain penggunaan alat ganti tulen.