Setelah membantah keras cadangan semakan semula kenaikan gaji dan elaun ahli parlimen (MP) ketika pembentangan Bajet 2012 Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengutuskan surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memohon kenaikan gaji.
Demikian dimaklumkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 dalam sidang Dewan Negara Isnin.
“Perdana Menteri sudah membentangkan cadangan itu (kenaikan gaji dan elaun MP) dalam usaha menaiktaraf Ahli Parlimen kita setaraf dengan ahli-ahli Parlimen negara lain di seluruh dunia. Usaha telah kita buat tapi atas sebab politik ia dibantah oleh Ketua Pembangkang.
“Sekarang barulah Ketua Pembangkang hantar surat kepada Speaker baru-baru ini mohon dinaikkan gaji. Barulah nampak ada sokongan padu untuk naikkan gaji MP,” kata Shahidan.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober 2011 meletakkan syarat mendapat sokongan 100 peratus semua MP termasuk pembangkang jika gaji dan elaun mereka hendak diinaikkan.
Ketika ini, gaji MP negara ini adalah RM6,500 atau USD2,000 sebulan disifatkan antara yang terendah di dunia malah lebih rendah daripada gaji MP di negara yang lebih “terkebelakang” taraf pembangunannya berbanding Malaysia.
Antaranya gaji MP di Uganda ialah USD2,500, manakala Kemboja USD5,000.
“Sepatutnya Parlimen yang lebih dahulu menaikkan gaji MP dan kemudian diikuti oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi di Malaysia sekarang ini keadaan dah terbalik DUN naik dahulu, Parlimen baru hendak ikut.
“Jadi kita di Malaysia ini sebenarnya telah melanggar etika kenaikan gaji dan elaun wakil rakyat yang menjadi amalan seluruh dunia,” kata Shahidan lagi.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah meluluskan kenaikan elaun mesyuarat berkuatkuasa Januari depan manakala semakan semula gaji dan elaun-elaun lain sedang dilakukan sambil memberi jaminan ia turut membabitkan semua senator Ahli Dewan Negara.