Perlantikan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang yang baru bagi mengantikan Salleh Man telah menimbulkan banyak spekulasi khususnya di kalangan para pemimpin Pas Pulau Pinang di peringkat kawasan dan cawangan.
Ada yang berpendapat ia adalah merupakan perkara biasa, namun tidak kurang juga yang merasakan ia adalah merupakan ‘hukuman’ kepada Salleh Man yang disifatkan gagal mengawal anak buahnya sehingga menimbulkan kemarahan DAP khususnya Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.
Malah andaian tersebut turut disokong oleh beberapa pemerhati politik yang merasakan pelucutan jawatan Salleh Man sebagai Pesuruhjaya Pas negeri mungkin disebabkan tekanan yang diberikan oleh DAP kepada Pas. Ia disebabkan ramai dikalangan pimpinan Pas negeri yang dikatakan tidak bersetuju dengan pendekatan yang diambil oleh kerajaan pimpinan DAP sehingga menimbulkan kemarahan mereka.
Malah sikap DAP yang dikatakan mengamalkan pemerintahan ala ‘kuku besi’ dan ‘diktator’ terhadap Pas, dilihat sebagai kemuncak kepada rasa tidak puas hati mereka sehingga ramai yang mula bangkit dan mengistiharkan perang terhadap parti ultra kiasu itu.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Perwakilan Pas Pulau Pinang, Mohd. Raduan Ramli ketika menjelaskan kewajaran tindakan Pas negeri memberi kata dua kepada kepimpinan Guan Eng ketika sesi perbahasan muktamar Dewan Pemuda baru-bru ini.
Menurutnya DAP dilihat cuba menjadikan Pas hanya sebagai boneka sehingga menyebabkan hubungan antara keduanya menjadi retak. Tidak cukup dengan itu, Raduan turut menyelar sikap segelintir pemimpin Pas yang mudah melatah sehingga sanggup meletakkan kesalahn tersebut kepada Pas Pulau Pinang,
Ini kerana menurutnya tindakan itu dibuat demi maruah parti dan bukannya gila kuasa seperti mana didakwa golongan tidak bertanggungjawab.
Selain Raduan, wakil Pas Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad turut membangkitkan isu yang sama dengan menyifatkan parti itu hanya dianggap sebagai ‘barua DAP dan pembonceng kepada pakatan pembangkang. Sejurus selepas membangkitkan isu tersebut, dia turut mendesak agar pucuk pimpinan parti segera menyelesaikan perkara tersebut.
Terdahulu Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Fauzi Yusof mengejutkan banyak pihak dalam pakatan apabila dengan beraninya memberikan kata dua kepada kerajaan DAP agar berhenti campur tangan dalam hal ehwal dan pengurusan agama Islam.
Selain itu, dia juga menuntut kerajaan negeri pimpinan Guan Eng agar melantik lebih ramai pemimpin Pas sebagai ahli majlis negeri.
Ekoran itu, Guan Eng dan pimpinan DAP negeri dikatakan marah dan mula panas punggung kerana merasakan tembelangnya mula terdedah kepada umum. Malah paling menyakitkan hati apabila perkara itu didedahkan sendiri oleh pimpinan Pas negeri yang merupakan rakan sekutu mereka di dalam pakatan.
Disebabkan itu, DAP dikatakan mula memberikan tekanan kepada Pas agar melucutkan jawatan Salleh Man yang dianggap GAGAL mengawal tindak tanduk anak-anak buahnya. TIdak kurang juga ada dikalangan mereka yang menuduh Salleh Man sebagai dalang utama namun cuba berselindung dengan mengunakan Fauzi sebagai ‘kambing hitam’.
Bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’ mereka perlu melakukan sesuatu dan jalan penyelesaian terbaik dengan meminta Pas pusat agar melantik Mat Sabu sebagai Pesuruhaya Negeri yang baru. Tambahan pula mereka amat yakin Mat Sabu akan mampu mengawal keadaan sekaligus terus memberikan ‘taat dan setia’ kepada DAP.
Kesimpulannya ialah walau apapun kisah disebalik kemelut itu, diharapkan ahli dan penyokong Pas segera bangkit dari lena. Ini kerana sikap DAP yang sering bermuka-muka bukanlah jalan yang terbaik untuk memperjuangan Islam.