Polis memberi amaran keras terhadap individu atau kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram ‘menggulingkan kerajaan’ di Dataran Merdeka di ibu negara Selasa ini, termasuk menahan sesiapa juga yang menyertainya di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA 2012.
Hasil risikan polis sudah mengenalpasti beberapa kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan terlibat dalam perhimpunan itu bagi menunjukkan rasa tidak berpuas hati mereka ke atas kerajaan dan seterusnya mahu menimbulkan kekacauan, kata Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh pada Sabtu.
“Kumpulan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia serta Solidariti Mahasiswa Malaysia dipercayai akan terlibat dalam perhimpunan itu,” kata Amar Singh pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Amar Singh berkata, penganjur perhimpunan haram tersebut dipercayai akan mendirikan khemah di sekitar Dataran Merdeka dengan membawa pelbagai senjata termasuk bom tangan bagi melakukan kekecohan.
Oleh itu katanya lagi, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas demi menngelakkan tercetus huru-hara.
Amar Singh menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai dan menyokong perhimpunan sedemikian kerana ia menyalahi undang-undang negara.
Katanya setakat hari ini, pihak polis telah menerima 588 laporan di seluruh negara dari pelbagai pihak bagi membantah perhimpunan berkenaan dan meminta polis bertindak mencegahnya.
Manakala di satu pihak yang lain, polis sehingga Sabtu belum menerima walaupun satu notis pemberitahuan untuk mengadakan perhimpunan dari mana-mana pihak seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.