LONDON: Chelsea mempamer aksi cemerlang dalam perebutan juara Liga Perdana Inggeris apabila bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Liverpool, 2-1 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Martin Skrtel mengejutkan Chelsea apabila melakukan jaringan pada minit ke-3, namun Chelsea kembali dengan gol Eden Hazard sebelum separuh masa pertama tamat.
Penyerang berbisa, Samuel Eto’o pula memberi tiga mata penuh kepada pengurus Jose Mourinho pada menerusi jariangan pada separuh masa kedua.
Skuad Brendan Rodgers itu mendahului di tangga pertama liga sebelum Haris Krismas, namun Liverpool menutup tirai 2013 dengan berada di tempat kelima, enam mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.
Chelsea pula kini di tempat ketiga, dua mata di belakang Manchester City di tangga kedua.
“Mereka bermain amat hebat dan berjuang sehingga wisel terakhir,” kata Mourinho kepada Sky Sports.
Selepas kekalahan 2-1 kepada Manchester City pada Hari Boxing, Liverpool buat kali pertama kalah berturut-turut sejak April 2012, manakala penjaring terbanyak, Luis Suarez pula tidak meledak sebarang gol dalam dua perlawanan terakhir.