Penganjur Perhimpunan Bersih perlu sedar bahawa enam dari 14 buah negeri mereka menang semasa pilihanraya umum Mac 2008 dan apa yang hendak dilakukan pada 9 Julai ini merupakan gimik politik semata-mata.
Mereka juga tidak perlu memutarbelitkan fakta dengan menganggap ianya satu kebangkitan rakyat sebagaimana berlaku di negara Timur Tengah kerana Malaysia adalah lebih demokratik dan bebas bersuara.
Demikian kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan di sidang media selepas bertemu dengan pemimpin-pemimpin Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Cawangan Wilayah Persekutuan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Selasa.
Menurut Ahmad, pembangkang berjaya menguasai negeri Kelantan, Pulau Pinang, Perak (kini dikuasai Barisan Nasional), Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan manakala di Parlimen pembangkang dikuasai oleh PAS (23 kerusi), DAP (29 kerusi) dan PKR (23 kerusi setelah 6 kerusi tinggal parti dan satu kalah).
“Kalau tak bersih, mungkin satu pun tak menang,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa perhimpunan tersebut bukan satu ancaman pada UMNO/BN tetapi kepada negara kerana ianya menimbulkan rasa tidak selesa pada pelabur dan pelancung ke negara ini.
Ahmad juga menyifatkan perhimpunan yang hendak dianjurkan itu sebagai Pehimpunan Kotor kerana ianya jelas menyusahkan rakyat terutama peniaga, penjaja kecil dan pemandu teksi di bandaraya Kuala Lumpur disamping menimbulkan ketakutan kepada pelancong.
“Ianya juga memberi gambaran bahawa Malaysia berada dalam keadaan tidak aman kepada pelabur luar, ianya juga akan mengambarkan keadaan negara berada dalam huru-hara, sedangkan selama 365 hari setahun tidak pernah ada demontrasi dan himpunan yang menganggu gugat ketenteraman awam,” kata Ahmad.
Katanya, “saya anggap himpunan yang dirancang ini adalah himpunan kotor, kita berharap mereka yang menganjur perhimpunan itu menghentikan hasrat mereka. Kita tahu di belakangnya adalah semua pembangkang, semuanya pemimpin pembangkang bukan NGO.”
Menurut Ahmad, “perhimpunan ini alat pembangkang dan ini agenda kotor bukannya bersih, ianya merupakan satu usaha untuk porak perandakan negara yang aman damai.”
Ahmad juga mengesyorkan kepada semua peniaga, penjaja kecil dan pemandu teksi supaya menyediakan peguam bagi menyaman mereka yang menganjurkan perhimpunan itu kerana telah menggugat mata pendapatan mereka.
Beliau juga akan menyampaikan hasrat wakil-wakil NGO kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin) supaya berindak proaktif terhadap penganjur perhimpunan sebelum perkara itu berlaku.-14/6/2011- OLEH LUKMAN ABDULLAH