Saya tidak pernah menolak untuk mengatakan bahawa Wardina Safiyyah Wilmot merupakan antara selebriti popular yang jelita dan suka mengambil berat tentang hal rakyat. Dakwah, “talks” dan motivasi yang dia berikan di beberapa program sebelum ini memberikannya publisiti berterusan meskipun sudah bersara dari bidang seni.
Bukan mudah untuk menjadi seorang selebriti yang “berhijrah” secara “mee segera” dan kemudian dijadikan “icon” bagi golongan remaja serta pihak-pihak tertentu. Segala gerak geri, pertuturan, hal peribadi dan pendirian Wardina sering diperhati. Kenyataannya mampu mempengaruhi orang ramai, golongan muda khususnya.
Pun begitu, populariti seseorang itu tidak semestinya membuktikan sentiasa berada di pihak yang benar dan bijak berfikir. Kadangkala, individu itu popular, tapi dia tidak punya akal untuk berfikir secara adil dan sering tersimpang dari kebenaran. Malah, ada sesetengahnya begitu mudah terpengaruh dan dipedaya oleh fitnah.
Wardina misalnya baru-baru ini menulis di Facebook, menuduh DBKL membazirkan wang sebanyak RM15 juta hanya untuk program sambutan ambang tahun baru di Dataran Merdeka baru-baru ini. Kononnya DBKL bazirkan wang rakyat, sedangkan rakyat sedang “tenat” fizikal, kewangan, spirtual dan moral.
Saya tertanya-tanya, sebagai selebriti yang kononnya “educated”, matang, menjadi ikutan, berpengaruh dan sering ajar anak-anak muda kita tentang moral, apakah Wardina sedar bahawa dia telah melakukan satu dosa yang disifatkan sebagai dosa besar di dalam Islam?
Seingat saya, saya mengetahui bahawa dosa fitnah itu merupakan satu dosa besar adalah sejak seawal tahun 5 lagi. Ketika itu, saya belum faham benar tentang erti fitnah. Namun ketika di sekolah menengah, ustaz saya menjelaskan tentang apa itu fitnah dan Al-Quran menyifatkan dosa memfitnah itu adalah lebih buruk dari dosa membunuh (juga dosa besar).
Jadi, sampai sekarang saya menyimpulkan bahawa dosa fitnah itu lebih teruk dari dosa membunuh. Misalnya, jika saya membunuh seseorang, dosa saya tidaklah seteruk dosa memfitnah, bukan? Faham?
Berbalik pada Wardina, saya tertanya-tanya dari mana dia dapat tahu tentang kononnya DBKL memperuntukkan RM15 juta untuk sambutan malam tahun baru itu? Dari rakannya? Siapa rakannya? Apakah Wardina tidak punya sebarang inisiatif untuk menyiasat mengenai cerita rakannya itu sama ada ia benar atau tidak?
Siapa rakan Wardina? Dari mana sumber yang dia peroleh? Dari bangla di petrol pam? Dari Red Bean Army yang menyamar jadi orang Melayu Islam? Atau dari Nik Nazmi? Dari Mahfuz Omar? Atau dari Anwar Ibrahim? Apakah yang terpacul dari mulut-mulut mereka itu semuanya benar-benar belaka?
Sepatutnya Wardina perlu adil pada dirinya sendiri. Dia perlu siasat dulu kebenaran sebelum mengeluarkan sebarang tuduhan atau kenyataan seumpamanya. Selepas yakin dengan kebenaran itu, barulah dia boleh meluahkan rasa hati di Facebook. Perlu diingat, dia selebriti yang telah “berhijrah” dan kata-katanya agak “laku” di kalangan anak-anak muda yang tak tahu apa-apa…
Apabila Wardina menuduh DBKL bazirkan wang rakyat sebanyak RM15 juta, dan kenyataan itu tidak benar sama sekali, malah memburuk imej pihak yang dituduh membazir, maka ia boleh dikategorikan sebagai fitnah atau syubhah.
Datuk Bandar Kuala Lumpur menjelaskan bahawa acara sambutan ambang tahun baru di Dataran Merdeka itu hanya menelan belanja sebanyak RM348,000 sahaja. Tak sampai setengah juta pun, RM400,000 pun tak sampai dan amat jauh sekali jika dibandingkan dengan jumlah RM15 juta yang dikatakan Wardina.
Jadi, apa kata Wardina sekarang? Siapa yang malu? Wardina ada rasa malu atau tidak? Kalau malu, saya menggesa agar Wardina membuat sidang akhbar bagi tujuan memohon maaf secara terbuka pada DBKL atas kesalahan fitnah yang dilemparkan. Itu perlu bagi membersihkan nama DBKL dari keburukkan yang ditohmah Wardina dalam Facebooknya itu.
Setelah itu, Wardina perlu bertaubat pada Allah SWT, memohon keampunan dariNya atas ketelanjuran diri memfitnah pihak lain. Untuk bertaubat, Wardina perlu berazam dalam dirinya untuk tidak lagi membiarkan dirinya mudah dipengaruhi cerita palsu dan dakyah tidak benar.
Dia juga perlu berazam untuk tidak “gelojoh” menghentam mana-mana pihak sebelum mengkaji kesahihan dakwaan. Kalau sahih sekalipun, Wardina perlu ikut cara Islam untuk menghentam, bukan semberono saja seperti Mahfuz. Maksud saya, tegurlah demi kebaikan dengan cara yang berhikmah dan mampu memberikan kesedaran serta ikhlas tanpa sebarang tujuan terselindung.
Saya bukannya mahu mengajar Wardina. Namun saya fikir, Wardina belum sampai ke tahap di mana akal rasionalnya mampu berfikir secara adil. Wardina perlu muhasabah diri selalu dan berani mengaku salahnya. Rujuk dulu pada Islam dan insyaAllah Wardina akan temui kebenaran…